Covid-19: Singapura catat 447 lagi kes baharu

Hanya empat kes baharu hari ini melibatkan warga Singapura, manakala selebihnya pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja. - Foto Bernama
Hanya empat kes baharu hari ini melibatkan warga Singapura, manakala selebihnya pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja. - Foto Bernama
A
A
A

SINGAPURA - Singapura hari ini mengesahkan 447 lagi kes baharu jangkitan Covid-19, dengan hanya empat kes melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan majoriti besar kes baharu hari ini melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja.

Dengan kes baharu ini, kenyataan itu melaporkan jumlah keseluruhan kes di negara itu kini 17,548.

Kementerian itu masih menyediakan butiran kes dan akan memberikan kemas kini maklumat, selepas ini.

Dalam data penuh yang diberikan lewat Jumaat, MOH berkata, kluster berkaitan SingPost Center di Eunos Road kini ditutup apabila tiada lagi kes baharu yang berkaitan dengannya dalam tempoh inkubasi dua minggu.

Republik itu juga telah mengenal pasti tujuh kluster baharu di mana satu daripadanya ‘Tuas South Incineration Plant’ yang kini mempunyai lapan kes yang disahkan.

Sementara kluster terbesar S11 Dormitory @ Punggol sehingga kini mencatatkan sejumlah 2,467 kes yang disahkan.

Daripada jumlah 17,101 yang disahkan pada Jumaat, Singapura mengklasifikasikan 1,211 sebagai kes komuniti, 571 kes import dan 543 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama.

Artikel Berkaitan:

Pekerja asing yang menghuni asrama pekerja, mendominasi 86 peratus kes atau 14,776 kes. - Bernama