Keputusan PKPB bukan langkah tergesa-gesa

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (GAMBAR HIASAN) - Foto Bernama
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (GAMBAR HIASAN) - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menolak dakwaan keputusan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagai satu langkah tergesa-gesa untuk menghidupkan semula sektor ekonomi negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaliknya berkata, keputusan kerajaan itu selari dengan pengumuman awal sewaktu PKP mula dilaksanakan iaitu kelonggaran akan diberikan kepada rakyat secara berperingkat.

Menurutnya, ia dibuat susulan kerajaan mengenal pasti kawasan zon hijau, merah dan kuning yang dilabelkan bermula peringkat negeri, daerah, mukim dan lokaliti.

"Apabila kita mempunyai maklumat status zon di setiap kawasan dan lokaliti, kita sudah boleh menggunakan pendekatan pemantauan kawasan bersasar dengan kawalan pergerakan ketat hanya akan ditumpukan kepada zon merah sahaja.

"Sebagai contoh, Perlis yang sudah dua minggu diklasifikasi zon hijau dan tidak mencatatkan kes jangkitan baharu Covid-19, tidak adil dikenakan tindakan kawalan yang sama dengan zon merah.

"Walaupun hampir semua sektor perniagaan kembali dibuka, tidak bermakna kita buka secara tergesa-gesa sebaliknya kita mahu rakyat hidup ada sedikit kelonggaran dengan perhimpunan ramai masih tidak dibenarkan dan amalan penjarakkan sosial masih diperlukan," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kebenaran syarikat penerbangan beroperasi pada PKPB hanya melibatkan kebenaran penerbangan domestik dengan pengenalan prosedur standard operasi (SOP) hanya separuh daripada kapasiti jumlah penumpang maksimum.

Menurutnya, arahan penjarakkan sosial yang sama dikenakan terhadap syarikat penerbangan sebagaimana perlu dipatuhi syarikat pengendali bas awam dengan setiap tempat duduk penumpang perlu dijarakkan mengikut SOP ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya sektor penerbangan tidak pernah terhenti dengan syarikat-syarikat penerbangan seperti Firefly masih beroperasi seperti biasa," katanya.