Kawalan ketat di sempadan

Anggota Angkatan Tentera Malaysia membantu Polis membuat sekatan jalan raya dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). GAMBAR HIASAN.
Anggota Angkatan Tentera Malaysia membantu Polis membuat sekatan jalan raya dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). GAMBAR HIASAN.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengawalan ketat di sempadan merupakan satu kunci yang perlu bagi memastikan tidak berlakunya kes import Covid-19 walaupun kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membolehkan aktiviti ekonomi dimulakan semula pada 4 Mei.

Faktor pengawalan sempadan telah diberikan penekanan berulang kali oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, di hampir kesemua sidang media harian Covid-19nya, sejak Malaysia diletakkan di bawah PKP pada 18 Mac.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang telah mengotakan janji mereka, dan telah meningkatkan pengawalan di semua pusat pemeriksaan sempadan.

Pegawai dan anggota keselamatan juga terus berjaga-jaga dalam memantau, mana-mana pihak yang cuba untuk menyeludup masuk ke negara menerusi pelbagai laluan tikus, jalan haram menerusi hutan dan ladang, yang juga digunakan untuk aktiviti penyeludupan.

Tugas mengawal dan menjaga keseluruhan sempadan negara bukanlah suatu yang mudah, dengan kira-kira 3,000 kilometer (KM) sempadan daratan dan sempadan perairan lebih 4,600 kilometer (km) yang Malaysia kongsi bersama negara jiran Thailand, Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina dan juga Vietnam.

Namun tugas itu perlu dilakukan. Dilaporkan anggota keselamatan kini menjalankan pemeriksaan di semua tempat dalam usaha mereka memastikan kawasan di sempadan berada dalam kawalan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam amanat pada 1 Mei berkata, pengawalan sempadan yang lebih ketat merupakan satu daripada kriteria yang telah diambil kira sebelum menguatkuasakan PKPB bagi membolehkan aktiviti ekonomi dimulakan semula, pada 4 Mei.

Pegawai pemerintah Ops Wawasan Kedah/Perlis Supt Abd Razak Md Din berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion ke-18 yang berpangkalan di Pengkalan Hulu, Perak, telah meningkatkan jumlah anggota dan rondaan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Perlus, sejak mengambil tugas tersebut pada 1 April.

Artikel Berkaitan:

“Lebih banyak rondaan dilakukan di kawasan ‘hotspot’ seperti di Wang Kelian, Kuala Sanglang, Padang Besar dan Chuping, terutamanya di laluan tikus yang digemari pendatang asing dan juga penyeludup,” katanya kepada Bernama.

Katanya pengawalan ketat pada masa ini telah mengelakkan pendatang asing dari masuk ke negara ini dan pada April, hanya dua pendatang asing ditangkap. Bagaimanapun katanya, ada peningkatan dalam penyeludupan daun ketum, dengan 8.4 tan bernilai RM472,000 dirampas pada April.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, pihaknya sentiasa menjalankan kerja-kerja risikan secara berkala bagi mendapatkan maklumat mengenai kemungkinan kemasukan pendatang asing ke negara ini.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, hanya individu yang telah melalui proses saringan yang dikendalikan Kementerian Kesihatan sahaja, yang boleh ke kaunter Imigresen.

Beliau berkata, operasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam termasuk di Kompleks Kenderaan Berat dan Kompleks Kenderaan Ringan, berjalan seperti biasa walaupun di bulan Ramadan.

Langkah pengawalan lebih ketat di sempadan Malaysia Thailand di Kelantan oleh pelbagai agensi keselamatan, telah membantu untuk memeriksa kemasukan pendatang asing dan mengurangkan penyeludupan barang-barang di sempadan.

Pegawai Pemerintah Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga di Pengkalan Kubor, Asisten Komisioner Mohd Rudzuan Ahmad berkata, Pasukan Gerakan AM dan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) sentiasa bekerjasama rapat terutamanya sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac.

“Dari Januari hingga Mac tahun ini, kami telah menggagalkan 90 kes penyeludupan melibatkan barangan bernilai RM600,000, namun pada tiga fasa PKP (18 Mac hingga 28 April) hanya terdapat 10 kes melibatkan barangan bernilai RM112,630,” katanya kepada Bernama.

Rondaan telah dipertingkatkan di Pengkalan Hulu, Perak, yang merupakan sempadan Malaysia-Thailand dengan Betong di Wilayah Yala selatan Thailand.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, pasukan keselamatan kini mengekalkan pemantauan ketat di laluan tikus yang digunakan oleh pendatang asing dan penyeludp barangan, terutamanya dalam Ops Pagar 3 yang meliputi kawasan Felda Lepang Nenering, Ayer Panas.

Katanya, pemeriksaan lebih ketat juga dilaksanakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Berapat, Pengkalan Hulu.

Beliau berkata, waktu operasi kompleks itu ketika PKP adalah dari 9.30 pada hingga 5.30 petang, tidak seperti pada hari-hari biasa dari 6.30 padi hingga ke 11 malam selain menambah sekatan jalan raya di kompleks tersebut.

Zulkepli berkata, operasi di sempadan dijalankan secara bersama dengan Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Dadah dan Polis Daerah Pengkalan Hulu bersama Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM).

Dalam usaha menguatkuasakan PKP secara efektif, Polis Marin Sabah telah melaksanakan pelan tindakan operasi yang melihat penubuhan 14 pusat pemeriksaan di laut, bagi mengetatkan kawalan sempadan terhadap kemasukan pendatang asing, penyeludupan, penangkapan ikan haram oleh nelayan asing, penculikan dan jenayah rentas sempadan.

Komander Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, 625 pegawai dan anggota dan 42 bot rondaan telah digerakkan untuk operasi pengawalan sempadan.

“Polis Marin telah menahan 59 orang dalam 48 kes atas pelbagai kesalahan.

“Rondaan di laut membolehkan kita menggagalkan cubaan menyeludup ketam hidup bernilai RM400,000 daripada Indonesia melalui Sungai Tawau baru-baru ini. Tawau telah menjadi pusat singgahan bagi ketam yang dipercayai untuk pasaran antarabangsa,” katanya.

Sarawak telah meluluskan peruntukan untuk menambah aset bagi meningkatkan lagi pengawalan sempadan di kawasan Kalimantan, Indonesia sewaktu PKP.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak memberikan jumlah sebenar atau aset tetapi telah berkata, pengawalan sempadan perlu dipertingkatkan lagi.

“Kami lebih risaukan laluan tikus. Jadi kami akan meningkatkan lagi pengawalan di kawasan ini bagi mengelakkan kemasukan pendatang tanpa izin ke Sarawak,” katanya.

Fokus tambahan akan diberikan kepada Long Singut di Bahagian Kapit, yang mempunyai penempatan paling hampir kepada sempadan Sarawak-Kalimantan di kawasan pedalaman negeri ini, katanya.

Dengan kawalan sempadan yang lebih ketat, pihak berkuasa kesihatan boleh yakin yang tidak ada orang yang akan menyeludup masuk Malaysia membawa Covid-19 dan memulakan kluster baru di negara ini.- Bernama