X

Kindly register in order to view this article
!

Apa khabar Mak Cik Kiah?

A
A

BEBERAPA hari ini kecoh pula tentang isu moratorium oleh Bank Negara Malaysia (BNM). BNM dikatakan telah membuat pusingan U menyebabkan rakyat jelata berkicau di media sosial mengungkit akan keburukan sikunya BNM ini.

Kecoh juga dengan luahan rakyat jelata ini, bak kata peribahasa Melayu lama kita seperti ‘pecah bunyi, buruk berita’. Apa tidaknya apabila sebelum ini dijanji bintang dan bulan, tiba-tiba direntap semula.

Pada mulanya saya tidak pasti juga isu sebenarnya. Yang saya baca kenyataan BNM ialah berkenaan keperluan melengkapkan dokumen untuk memberi kebenaran. Ini kerana menurut bank, keperluan itu tidak boleh dielakkan menurut Akta Jual Beli 1967. Kedua-kedua pihak kena bersetuju dengan perubahan baharu itu.

Jika ada keperluan ini, maka rakyat jelata kenalah membaca dan memperhalusi dengan teliti juga. Maklumlah kadangkala kita tidak tahu juga akan maksud kandungannya.

Kadangkala juga rakyat jelata pun tidak faham akan isi kandungan yang menggunakan bahasa undang-undang ini.

Cuma saya ada juga membaca komentar mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kata beliau, sebenarnya bank tidaklah membuat pusingan U. Memang ada terkandung dalam soalan-soalan lazim bahawa faedah akan terakru.

Saya rasa apa yang dikatakan oleh rakyat jelata bukan tentang pinjaman peribadi dan pinjaman PKS tetapi adalah pinjaman jual beli. Setahu saya dalam soalan lazim sebelum ini ada menyatakan untuk moratorium pinjaman jual beli ini tidak akan dikenakan faedah tambahan.

Contoh yang saya baca, dalam dokumen soalan lazim, menyatakan bahawa, ‘adakah saya perlu membayar faedah yang lebih apabila tamat tempoh moratorium? Jawapan dalam soalan lazim itu memberitahu, untuk pinjaman konvensional akan ada faedah terakru daripada prinsipal yang tertunggak.

Tetapi untuk pinjaman jual beli tak perlu membayar lebih faedah. Maka itulah mungkin perbezaan ataupun menurut pihak BNM ada salah faham pula. Saya pun tidak nampak apa salah fahamnya. Cuma sekarang isunya adakah akan ada faedah yang lebih atau tidak seperti yang diberitahu sebelum ini?

Mekanisme

Bagaimanapun, rakyat jelata hendaklah menunggu apa isi kandungan baharu yang perlu dilengkapkan nanti. Seperti yang saya maklum sebelum ini juga dalam artikel lain, bank tidaklah mahu rugi. Mereka hendak untung sahaja.

Saya teringat ketika terlibat dalam kajian untuk memansuhkan tol. Pihak auditor perunding daripada KPMG ada membuat kajian untuk melihat adakah boleh untuk memansuhkan tol seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum ini.

Yang bersusah payah untuk menyelesaikan masalah tol ini hanyalah kerajaan dan konsesi memberi maklumat. Mereka ini yang berbincang bagaimana mekanisme yang boleh digunakan untuk mengurangkan beban rakyat tentang tol apatah lagi memenuhi janji manifesto itu.

Bank pula? Tak adalah saya dengar mengeluarkan kenyataan, “Oh demi untuk rakyat jelata supaya tol dimansuhkan, kami rasa bertanggungjawab dan pasti menyokong kerajaan untuk mansuhkan pinjaman syarikat konsesi. Lagipun kami dah banyak makan faedah." Ataupun, "Kami kurangkan sahaja faedah pinjaman memandangkan kami hidup pun sebab pinjaman jaminan kerajaan juga.”

Dalam keadaan rakyat jelata yang sukar ini, janganlah menghampakan mereka. Keadaan sangat terdesak pada hari ini. Ekonomi sebenarnya bukan seperti dahulu lagi. Untuk pulih kembali akan memakan masa juga.

Oleh itu kalau sudah berjanji janganlah cuba mengelat pula. Kasihanlah mereka, terutama Mak Cik Kiah. Oh ya, saya tertanya-tanya juga apa khabar agaknya Mak Cik Kiah sekarang ya? Mungkin sedang berdukacita. Moga-moga Mak Cik Kiah ada lebihan duit untuk membayar faedah pinjaman kereta pula.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarkat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: [email protected]


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus