Kerangka fikir normal baharu

A
A
A

SEBETULNYA, sudah ramai yang mengupas hal normal baharu ini menerusi pelbagai platform media baharu.

Apa yang jelas, telah menjadi konsensus atau persetujuan bersama bahawa pasca-Covid-19 ini akan membentuk normal baharu baik dari segi pengurusan dan pentadbiran kerajaan, organisasi, pergaulan sosial, pembinaan keluarga dan perubahan rutin kehidupan.

Hakikatnya, normal baharu melibatkan perubahan aktiviti harian dan tabiat kita serta perubahan standard dan tanda aras yang baharu.

Pendek kata, selepas ini rutin dan cara pengurusan terdahulu sudah tidak menjadi relevan dan mencakupi seluruh dunia.

Apa yang nyata, sama ada kita bersedia atau belum bukannya menjadi soal lagi. Ini kerana dunia tidak menunggu kita untuk bersedia, sebaliknya kita harus sesuaikan diri dengan perubahan dunia.

Berdasarkan carian umum, istilah normal baharu telah diperkenalkan oleh Henry Wise Wood sejak bulan Disember, 1918 menerusi artikelnya bertajuk Beware dalam National Electric Light Association Bulletin.

Menerusi artikel tersebut, beliau telah menggariskan tiga fasa yang perlu dilalui oleh masyarakat pada ketika itu iaitu fasa peperangan, fasa peralihan dan fasa normal baharu.

Apa yang menarik, model perubahan normal baharu itu telah digunakan sehingga kini. Ini bermakna setiap isu besar yang berlaku di sesebuah negara dan juga dunia akan menyebabkan berlakunya peralihan kepada normal baharu.

Artikel Berkaitan:

Begitulah juga pasca-Covid-19 ini akan banyak berlaku perubahan kepada fasa normal baharu sama ada di peringkat mikro dan juga makro.

Pun begitu, peralihan tersebut tidak akan berlaku sekiranya kita tidak mengubah kerangka fikir atau 'mindset' terlebih dahulu. Ini bermakna corak berfikir yang baharu amat diperlukan untuk disepadankan dengan suasana semasa.

Menurut perspektif psikologi, kerangka fikir seseorang itu boleh dikelompok kepada dua jenis iaitu kerangka fikir yang malar atau 'fixed mindset' dan kerangka fikir yang dinamik atau 'growth mindset'.

Bagi individu yang tergolong dalam kelompok kerangka fikir yang malar, suka bersikap untuk membuktikan dirinya hebat dan begitu defensif sekiranya ditegur untuk memperbetulkan kesalahan yang ada pada dirinya.

Bagi golongan ini, pencapaian diri mereka hanya diukur menerusi kejayaan dan kegagalan semata-mata.

Pun begitu, berbeza pula dengan individu yang tergolong dalam kelompok kerangka fikir yang dinamik di mana mereka sentiasa tabah dan mempunyai daya tahan yang tinggi.

Bagi mereka, istilah kegagalan sering ditukar kepada pembelajaran. Apa yang jelas, proses pembelajaran itu menjadikan mereka lebih fokus untuk meneroka perkara baharu dan bukan hanya memberi fokus bagi mengurangkan kesilapan semata-mata.

Oleh itu, proses pembelajaran menjadikan mereka lebih bersemangat untuk bekerja serta mempunyai motivasi yang tinggi untuk mencapai sesuatu sasaran.

Berkaitan dengan kerangka fikir tersebut, saya cukup tertarik dengan kupasan artikel oleh Nunzio Presta yang bertajuk Dua Peratus Mindset.

Menurut beliau, terdapat 98 peratus masyarakat dunia tergolong dalam kelompok yang tidak mahu mengubah corak berfikir kerana begitu teruja berada dalam zon selesa.

Ini bermakna, mereka hanya suka menjadi ‘pak turut’, suka bertangguh, tidak gemar meneroka peluang baharu, bermalas-malasan dan tidak mahu memikirkan cabaran dan halangan yang perlu ditempuhi pada masa depan.

Ini bermakna hanya dua peratus yang benar-benar bersedia untuk berubah mengikut keadaan semasa dan disesuaikan dengan keperluan pada masa hadapan.

Secara jujurnya jika merujuk kepada artikel tersebut, kita sebenarnya tergolong dalam kelompok dua peratus atau 98 peratus?

Pada hemat saya, semasa kita diizinkan ‘berkhalwat’ sepanjang tempoh PKP ini, sewajarnya kita perlu banyak berfikir dan merangka tindakan untuk berada dalam rutin normal baharu nanti.

Apa yang nyata, kesemua sistem pengurusan negara dijangka mengalami perubahan ketara baik dari aspek pengurusan keselamatan negara, pengangkutan domestik dan antarabangsa, perjalanan keluar negara, perubahan struktur pendidikan, sistem kesihatan dan sebagainya lagi.

Pun begitu pengabadian kita pada ALLAH tetap sama, malah perlu ditingkatkan dari masa ke masa. Semoga kita semua tidak kekok untuk berubah.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis