FAM umum garis panduan pelarasan gaji

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan garis panduan pelarasan gaji bagi membantu kestabilan kewangan pasukan atau kelab Liga Malaysia (Liga-M) terutamanya yang masih gagal mencapai persetujuan berhubung pemotongan gaji pemain dan pegawai.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, garis panduan berkenaan diumumkan bagi memastikan tidak ada pasukan atau kelab yang mengambil kesempatan melakukan pemotongan gaji sewenang-wenangnya terhadap para pemain dan pegawai pasukan masing-masing.

“Berdasarkan garis panduan tersebut, FAM telah menetapkan kadar maksimum pemotongan gaji adalah sebanyak 30 peratus dan dibahagikan kepada empat kategori.

“Kategori pertama, gaji RM4,999 dan ke bawah melibatkan pemotongan sebanyak 10 peratus; kategori kedua, RM5,000-RM9,999 (15 peratus); kategori ketiga, RM10,000-RM14,999 (20 peratus) dan kategori keempat, RM15,000 dan ke atas (30 peratus),” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, pasukan atau kelab yang masih belum melengkapkan pembayaran gaji pemain dan pegawai sehingga Mac 2020 tidak dibenarkan untuk melaksanakan pemotongan gaji tersebut.

“Kecuali jika mereka mendapat persetujuan bersama daripada pemain dan pegawai untuk membenarkan ia dilakukan. Garis panduan ini turut menetapkan pasukan atau kelab yang memiliki kedudukan kewangan kukuh dan pertimbangan lain hendaklah dikecualikan daripada pelaksanaan pemotongan ini," ujarnya.

Mengenai tempoh pemotongan gaji, Stuart menjelaskan, ia bermula dari April 2020 sehingga gaji bulan berikutnya selepas tarikh saingan Liga-M 2020 disambung semula.

“Pemotongan gaji bermula dari April 2020 bagi kategori pertama, kedua dan ketiga manakala bagi kategori keempat, pemotongan gaji April 2020 adalah sebanyak 25 peratus sahaja dan pemotongan sebanyak 30 peratus itu hanya akan bermula gaji Mei 2020 dan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai contoh, jika saingan disambung semula pada Julai 2020, gaji bulan berkenaan masih dipotong dan gaji penuh hanya akan bermula gaji Ogos 2020. Jika saingan bersambung pada Ogos 2020, maka gaji penuh hanya akan bermula gaji September 2020,” jelasnya.