Lima jemaah diberi amaran selepas solat tarawih di surau

Lima jemaah ini dikesan menunaikan solat sunat tarawih berjemaah di sebuah surau diberi amaran (Foto: Ihsan JHEAT)
Lima jemaah ini dikesan menunaikan solat sunat tarawih berjemaah di sebuah surau diberi amaran (Foto: Ihsan JHEAT)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lima jemaah di sebuah surau di daerah ini dikesan melakukan solat sunat tarawih berjemaah sepanjang tempoh seminggu Ramadan sehingga semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Syariah Terengganu, Mohd Adnan Abdullah berkata, bagaimanapun, kelima-lima jemaah ini sudah pun diberi amaran dan nasihat agar tidak mengulangi kesilapan sama selepas ini.

Beliau berkata, meskipun mereka mematuhi jarak sosial dengan kedudukan jemaah dalam saf juga dijarakkan satu meter antara setiap jemaah tetapi tindakan tersebut tetap salah.

"Mereka perlu akur dengan arahan semua masjid dan surau tidak dibenarkan mengadakan solat sunat tarawih berjemaah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

"Hanya petugas masjid dan surau yang dipilih sekitar tiga orang yang dibenarkan bagi melaungkan azan dan inisiatif ini diambil selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan bagi memutuskan rantaian penularan wabak koronavirus (Covid-19) ini.

"Oleh itu, masyarakat Islam digalak melakukan solat sunat tarawih di rumah masing-masing bersama ahli keluarga kerana ia tidak mendedahkan diri mereka kepada risiko penularan Covid-19," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mohd Adnan berkata, pihaknya berharap masyarakat negeri ini patuh terhadap arahan pihak berwajib bagi memastikan usaha kerajaan mengekang penularan virus tersebut tercapai.

Jelasnya, bagi individu yang enggan memberi kerjasama dan tidak mahu mengikut arahan dikeluarkan, tindakan boleh dikenakan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001 kerana menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama.

Artikel Berkaitan:

"Di bawah kesalahan mengikut Seksyen 10 ialah individu yang bertindak dengan cara menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa.

"Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya.