Haiwan liar bebas ke sana ke sini, manusia berkurung menghitung hari

No Image Caption
A
A
A

PENULARAN virus Covid-19 nampaknya telah menukar norma dunia kepada sesuatu yang luar biasa.

Manusia yang dulunya hidup bebas ke sana ke sini mula berkurung di dalam rumah sambil menghitung hari bila agaknya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan berakhir.

Sedangkan haiwan liar yang sebelum ini dilihat dan dikenali melalui gambar sahaja mula mengambil alih penempatan manusia.

Mengambil satu contoh di Putrajaya baru-baru ini, sekumpulan memerang dilihat berehat di tepi tasik sambil berkejaran antara satu sama lain.

Melihatkan situasi tersebut, Merak Jalanan mula terfikir bahawa keamanan dunia ini sepatutnya dikongsikan bersama dengan makhluk lain. Namun, sifat manusia yang suka menguasai menyebabkan haiwan liar mengalah dan menyembunyikan diri di habitatnya.

Hari ini, haiwan liar telah keluar daripada habitatnya. Bukan untuk menguasai dunia tetapi sekadar menikmati keindahan dunia dalam keadaan bebas tanpa rasa risau selepas manusia memilih untuk berkurung buat seketika.

Walaupun sebentar namun riak wajah haiwan liar yang dirakam foto dan videonya menggambarkan mereka cukup gembira menikmati waktu berkualiti bersama keluarga tanpa gangguan manusia.Jelas sekali kebebasan bukan hanya untuk manusia, semua makhluk termasuk haiwan juga berhak memilikinya. Malangnya mereka tidak berpeluang menikmatinya dalam keadaan aman dan damai.

Bagi menghargai dan meraikan erti kebebasan Merak Jalanan rasa ada baiknya jika mereka yang suka memelihara haiwan liar membebaskan mereka ke habitat asalnya.

Artikel Berkaitan:

Lagipun, kita sendiri sudah merasakan bagaimana rasanya hidup terkurung dalam tempoh PKP ini. Merak Jalanan rasa perkara sama juga dihadapi oleh burung, ular sawa, tupai terbang dan monyet yang dikurung dengan alasan untuk dijadikan haiwan peliharaan.