Bapa didakwa ugut bunuh diri bersama dua anak, halang tugas polis

A
A
A

KUALA LUMPUR- Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan membunuh diri bersama dua anaknya serta menghalang tugas seorang pegawai polis wanita.

Lelaki yang berusia 40 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Dia didakwa melakukan ugutan jenayah ke atas dua anak lelaki yang masing-masing berumur 13 dan 12 tahun dengan mengugut akan membunuh diri bersama-sama di sebuah rumah di Taman Selayang Jaya, Gombak di sini pada 2 petang, 21 April lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menghalang Inspektor Nur Atikah Adnan menjalankan tugasnya pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya,jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya M.S Arunjothy menawarkan jaminan masing-masing RM4,000 dan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua kes itu manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan dia penanggung tunggal keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM2,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 15 Mei untuk sebutan kes bagi lantikan peguam.

Di mahkamah sama, penganggur Mohd Kefley Hamzah, 41, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan iaitu mencabul seorang wanita, memiliki sepasang gari serta dua pucuk pistol tiruan.

Artikel Berkaitan:

Dia didakwa mencabul kehormatan seorang wanita berusia 34 tahun di Taman Samudera, Batu Caves, Gombak di sini pada 9.30 malam 7 April lepas mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan-seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, lelaki itu didakwa memiliki sepasang gari bersama dua anak kunci dan dua pucuk pistol tiruan di Jalan Samudera Timur, Batu Caves, Gombak di sini pada 4.40 pagi 8 April lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 89 (a) Akta Polis 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz diikat jamin berjumlah RM4,500 bagi semua pertuduhan beserta syarat tambahan dilarang menganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan menetapkan 10 Jun untuk sebutan bagi ketiga-tiga kes itu.

Di mahkamah sama juga, dua warga Indonesia termasuk seorang wanita masing-masing dipenjara dua bulan dan 15 hari selepas mereka mengaku bersalah mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa alasan munasabah.

Majistret, Nur Hafizah memerintahkan Robarna Zakir, 23, dan Dita Triyana, 26, masing-masing menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 19 dan 21 April lepas.

Mereka melakukan kesalahan itu di Plaza Tol Rawang-Sungai Buloh, Gombak dan Pinggiran Lembah Hijau, Bandar Tasik Puteri, Rawang pada 19 dan 21 April lepas antara 6.20 petang sehingga 6.30 petang, mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan serupa yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Robarna Zakir juga dihukum penjara sebulan kerana tinggal di negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan sah di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh juga dikenakan tidak melebihi enam sebatan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 21 April lepas.

Dita Triyana pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tinggal di negara ini melebihi tempoh had dibenarkan di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dan mahkamah menetapkan 10 Jun untuk sebutan kes.- Bernama