Pasar Harian Selayang beroperasi Selasa depan

 Nor Hisham
Nor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasar Harian Selayang yang ditutup sebelum ini akan memulakan semula operasi pada Selasa depan bermula jam 5 pagi hingga 2 petang.

Bagaimanapun, operasi tidak dibenarkan pada setiap Isnin dan Jumaat bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi Covid-19.

Menerusi satu notis pemberitahuan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, semua peniaga dan pekerja di pasar itu perlu melalui pintu utama bagi menjalani saringan suhu sebelum memasuki premis itu.

"Peniaga juga perlu menyediakan pensanitasi tangan di hadapan gerai dan mematuhi penjarakan sosial antara satu sama lain.

"Pembeli juga dibenarkan berada dalam pasar selama 30 minit sahaja dan kenderaan persendirian tidak dibenarkan parkir di kawasan Pasar Harian Selayang," katanya.

Pasar Harian Selayang ditutup sejak 21 April lalu sehari selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong KL dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, tindakan penguatkuasaan termasuk menyita peralatan peniaga di bawah Akta Kerajaan Tempatan boleh diambil jika gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

"Tindakan penguatkuasaan juga boleh diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempahan Jangkitan) 2020.

Artikel Berkaitan:

"Barangan yang disita tidak boleh dituntut sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir," katanya.