Pulau Pinang terbit video panduan beribadat

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN- Kerajaan Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Mufti Pulau Pinang menerbitkan video panduan beribadat kepada umat Islam sepanjang bulan Ramadan ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu diuruskan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Menurutnya, ia adalah salah satu inisiatif yang diambil berikutan tiada aktiviti masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Ahmad Zakiyuddin selaku Yang Dipertua MAINPP bukan sahaja memastikan hal ehwal agama Islam seperti zakat diagihkan kepada golongan yang perlu, malah turut bekerjasama dengan Jabatan Mufti Pulau Pinang dalam menjayakan penerbitan video-video panduan beribadat kepada umat Islam di bulan Ramadan ini.

"Keenam-enam video tersebut boleh ditonton di laman web www.PenangLawanCovid19.com, antaranya memaparkan sesi temubual Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, bagaimana menunaikan solat terawih di rumah.

"Selain itu, kaedah membayar zakat fitrah tanpa ke masjid atau surau dan cara menunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah sekiranya PKP dilanjutkan," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini tadi.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang mengesahkan tiada kluster baharu dikenalpasti di Pulau Pinang setakat ini.

Beliau berkata, selain tiada kluster baharu, tiada kes jangkitan melibatkan petugas barisan hadapan dan mereka semua berada dalam keadaan sihat.

"Saya memohon semua rakyat Pulau Pinang terus bersabar serta berusaha untuk bersama-sama kerajaan negeri melawan Covid-19 demi kebaikan kita semua.

Artikel Berkaitan:

"Kesimpulannya, Kerajaan Pulau Pinang berfungsi sepanjang masa PKP dan telah bersiap-siaga untuk menghadapi situasi baharu, ‘Next Normal’. Kerajaan negeri tidak pernah tidur dan akan terus berjuang dalam memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat serta ketahanan ekonomi Pulau Pinang terjamin," katanya

Beliau menambah, dalam memasuki Fasa 4 PKP, kadar kepatuhan PKP sehingga 28 April adalah 97.88 peratus dengan 1,691 tangkapan membabitkan tiga fasa secara keseluruhannya.