Penjawat awam pinjam bank RM213,000 untuk selesai 'kes judi'

 Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang penjawat awam terpaksa menanggung hutang bank selama 10 tahun gara-gara membuat dua pinjaman bank berjumlah RM213,000 selepas terpedaya dengan taktik Macau Scam yang mendakwa kononnya dia terlibat dengan kes perjudian dalam talian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 39 tahun itu bertindak sedemikian selepas menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Kuantan, Pahang pada November tahun lalu.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun menyedari ditipu semalam selepas mendapati baki pinjaman iaitu RM205,000 telah lenyap dari akaun bank yang baharu dibukanya sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Dalam kejadian November lalu, mangsa diberitahu bahawa maklumat peribadinya telah digunakan untuk pendaftaran judi dalam talian sebelum panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki yang mendakwa pegawai polis berpangkat Inspektor.

"Suspek memaklumkan kononnya mangsa mempunyai satu waran tangkap lalu meminta mangsa membuka satu akaun bank dengan mendaftarkan nombor talian suspek dengan alasan bagi memudahkan suspek mengawal dan memindahkan kesemua wang ke akaun tersebut," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, suspek turut mengugut mangsa agar menyelesaikan segera kes tersebut sekiranya tidak mahu ditangkap menyebabkan mangsa ketakutan sebelum membuat pinjaman sebanyak dua kali iaitu masing-masing berjumlah RM78,00 dan RM135,000.

Menurutnya, mangsa memindahkan wang berjumlah RM205,000 ke akaun baharu dibukanya itu dan menyerahkan butiran akaun bank kepada suspek, namun terkejut selepas mendapati wang berkenaan lenyap.

"Mangsa hanya mengambil RM8,000 dari pinjaman tersebut untuk kegunaan peribadi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.