Covid-19 di Malaysia dijangka tamat awal Julai depan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19) di Malaysia dijangka akan tamat sepenuhnya awal Julai depan, menurut Data-Driven Innovation Laboratory, Singapura University of Technology & Design.

Mengikut ramalan berdasarkan data yang dibuat pada 26 April lalu, sebanyak 97 peratus jangkitan itu dapat dikawal pada 6 Mei manakala pada 20 Mei pula, wabak itu dikatakan akan dihapuskan sebanyak 99 peratus di negara ini.

Data sama turut menunjukkan rata-rata negara di Eropah akan mengakhiri wabak tersebut antara Julai sehingga Oktober depan.

Amerika Syarikat (AS) yang merupakan negara tertinggi di dunia mencatatkan jumlah kes positif dijangka akan mengakhiri sepenuhnya wabak itu September depan.

Tarikh 29 Mei, negara kuasa besar dunia yang ketika ini telah merekodkan hampir sejuta kes dengan lebih 50,000 kematian itu dijangka akan menamatkan 99 peratus jangkitan.

Singapura yang kini menjadi negara tertinggi di Asia dengan 14,951 kes positif direkodkan setakat hari ini dijangka akan pulih sepenuhnya jangkitan wabak itu pada 16 Julai depan.

Berdasarkan data ramalan sama, China yang merupakan negara pertama dikesan penularan wabak tersebut akan menamatkan sepenuhnya jangkitan berkenaan pada awal bulan ini.

China telah menyaksikan jumlah kematian akibat Covid lebih daripada 4,600 orang dengan sebahagian besarnya melibatkan penduduk di Wuhan iaitu wilayah pertama dikesan berlakunya wabak tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, wabak yang didakwa berpunca dari sebuah pasar basah di Wuhan, pertama kali muncul pada bulan Disember tahun lepas itu telah menjangkiti lebih 3 juta orang di seluruh dunia.

Ketika ini, 185 negara telah dikesan menjangkiti wabak tersebut dengan jumlah kematian keseluruhan kini melebihi 200,000 orang.