Covid-19: Ekonomi Singapura ke fasa kemelesetan

Pandemik Covid-19 telah menyebabkan aktiviti ekonomi menguncup di Singapura dan peringkat global. - Foto 123RF
Pandemik Covid-19 telah menyebabkan aktiviti ekonomi menguncup di Singapura dan peringkat global. - Foto 123RF
A
A
A

SINGAPURA - Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) hari ini mengulangi jangkaan awal mereka berlakunya kemelesetan di republik itu pada tahun ini, sambil menyatakan bahawa pandemik koronavirus (Covid-19) telah menyebabkan aktiviti ekonomi menguncup di Singapura dan peringkat global.

Keadaan ini berpunca daripada gabungan beberapa faktor iaitu gangguan rantaian bekalan, sekatan perjalanan di kebanyakan negara dan penyusutan permintaan secara mendadak, jelas bank pusat itu dalam kenyataan dasar monetari yang dikeluarkan hari ini.

MAS menegaskan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak −4.0 peratus kepada −1.0 peratus pada 2020.

Jelasnya, ini menyebabkan tekanan disinflasi dijangka meluas walaupun harga bagi beberapa barangan import dijangka meningkat berikutan gangguan dalam pengeluaran dan pengangkutan.

Sehubungan itu, MAS menurunkan jangkaan bagi Inflasi Teras dan inflasi Indeks Harga Pengguna semua barangan kepada -1.0 peratus kepada sifar peratus.

Berdasarkan kepada anggaran lanjut yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MTI) Singapura pada 26 Mac, ekonomi negara itu menguncup sebanyak 2.2 peratus bagi asas tahun ke tahun dalam suku pertama tahun ini.

MTI juga menurunkan unjuran pertumbuhan daripada 4.0 peratus kepada -1.0 peratus bagi 2020 berbanding unjuran awal -0.5 hingga 1.5 peratus.

Mengenai dasar monetari, MAS berkata, pertumbuhan KDNK akan pulih pada akhirnya susulan tahap penurunan aktiviti secara mendadak, “namun, wujud ketidakpastian yang ketara mengenai kedalaman dan tempoh masa kemelesetan ini.” - Bernama

Artikel Berkaitan: