Covid-19: Lebih 4,000 sembuh, hanya 31 kes baharu

Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Bilangan kes pulih dan didiscaj akibat jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) kini melepasi angka 4,000 kes apabila 75 orang lagi disahkan sembuh dan dibenarkan keluar wad hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan kumulatif kes sembuh dan didiscaj kini melonjak kepada 4,032 kes atau bersamaan 68.9 peratus daripada keseluruhan kes.

"Sehingga kini, seramai 36 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Daripada jumlah tersebut, 17 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 31 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif wabak itu di Malaysia adalah sebanyak 5,851 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,719 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat satu lagi kematian baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kini 100 orang.

"Kes kematian ke-100 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan strok," katanya.

Artikel Berkaitan: