UiTM mohon maaf kes kebocoran data lebih 11,000 pemohon

UiTM memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan hingga berlaku kebocoran data lebih 11,000 pemohon universiti berkenaan.
UiTM memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan hingga berlaku kebocoran data lebih 11,000 pemohon universiti berkenaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada Selasa memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan hingga berlaku kebocoran data lebih 11,000 pemohon universiti berkenaan.

Menerusi akaun Twitter rasminya, UiTM mengesahkan bahawa pautan kepada senarai sebanyak 11,891 nombor kad pengenalan dan emel pemohon itu tidak lagi aktif kerana kemas kini telah dilakukan.

Ia susulan seorang pengguna Twitter, @imraimy mendakwa bahawa UiTM baru sahaja menerbitkan senarai hampir 12,000 nombor kad pengenalan dan emel pemohon sebagai pautan tidak selamat.

Menurutnya, UiTM berbuat demikian bertujuan membenarkan calon menyemak butiran mereka.

Katanya, maklumat nombor kad pengenalan dan alamat emelnya juga turut terkandung dalam senarai berkenaan.

Ekoran itu, sebagai respons kepada ciapan itu, UiTM terdahulu memberitahu bahawa pihaknya mengambil maklum tentang dakwaan tersebut dan meminta pengadu menghubungi mereka dengan maklumat lanjut yang berkaitan.

Portal teknologi lowyat.net pada 2019, melaporkan bahawa sejumlah 1,164,540 rekod milik pelajar yang mendaftar antara tahun 2000 dan 2018 untuk pelbagai kursus di UiTM telah dibocorkan dalam talian.

Data yang bocor itu didakwa melibatkan rekod terperinci pelajar dari kampus induk UiTM di Shah Alam dan 13 kampus negeri di seluruh negara.