X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: 489 individu ingkar PKP ditahan

Ismail Sabri - Foto fail Bernama
A
A

PUTRAJAYA -Seramai 489 individu ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 465 individu direman manakala bakinya dijamin oleh polis.

Katanya, seramai 741 individu juga didakwa di mahkamah kerana ingkar PKP.

"Semalam polis menahan 489 individu berbanding 606 pada hari sebelumnya kerana ingkar PKP.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif tangkapan setakat ini adalah seramai 21,106 individu," katanya pada Sidang Media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini juga PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka sebanyak 238 kertas siasatan berkaitan berita palsu Covid-19.

"Daripada jumlah tersebut sebanyak 170 masih dalam siasatan, manakala 24 kes telah didakwa di mahkamah dan 13 telah mengaku bersalah," katanya.

Mengenai Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) beliau berkata, sebanyak 272 operasi sanitasi meliputi 44 Zon Merah dan Kuning di 11 negeri, termasuk 57 operasi di Johor dan 42 operasi di Perak dilakukan semalam (27 April).

"Operasi sanitasi semalam merangkumi 46 bangunan Kerajaan, 37 tempat awam, 59 pusat perniagaan dan lapan pasar raya,"katanya.

Tambah Ismail, terdapat empat lagi pusat kuarantin telah beroperasi yang mana 17,164 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

Katanya, semalam seramai 1,267 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib.

"Seramai 23,214 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April 2020.

"Sejak 17 April, 9,281 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang,"katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!