Fuziah Salleh akan didakwa esok

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini esok berkaitan penyebaran berita palsu menerusi hantaran di laman Facebook miliknya.

Difahamkan, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman akan membuat pertuduhan itu pada jam 8.30 pagi.

Pada 12 April lalu, Sinar Harian melaporkan polis telah membuka kertas siasatan ke atas Fuziah yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Fuziah yang juga pemimpin PKR pada 10 April lalu memuat naik satu rakaman video yang orang ramai menyerbu Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Sultan Iskandar (CIQ) Johor Bahru sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Video sesak di CIQ: Polis rakam keterangan Fuziah

Susulan itu, Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud menjelaskan bahawa video berkenaan sebenarnya latihan kebakaran yang dijalankan di CIQ pada 18 Disember 2018.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, pihaknya telah merakam keterangan Fuziah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah dan Seksyen Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Fuziah turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Fuziah buat kesilapan tidak disengajakan: DAP

Artikel Berkaitan: