Fuziah buat kesilapan tidak disengajakan: DAP

Ngeh Koo Ham
Ngeh Koo Ham
A
A
A

IPOH - Kerajaan diingatkan tidak mengambil kesempatan terhadap sikap berdiam pemimpin Pakatan Harapan (PH) dengan menyalahgunakan kuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, sepanjang tempoh PKP ini, PH menahan diri daripada bersikap kritikal terhadap pentadbiran kerajaan kerana mahu memastikan semua pihak dapat menumpukan usaha memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

Penasihat DAP Perak itu berkata, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk kerajaan menyalah guna kuasa dengan mengambil tindakan terhadap seseorang yang membuat kesilapan tidak disengajakan.

"Saya amat khuatir mengenai dua kejadian baru-baru ini iaitu siasatan terhadap Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berhubung satu video yang dimuat naik di Facebook serta amaran daripada Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap pengamal media yang membuat laporan tidak tepat.

"YB (Yang Berhormat) Fuziah Salleh dan media mempunyai kewajipan untuk memastikan rakyat kita dimaklumkan tentang peristiwa-peristiwa terkini, undang-undang melindungi mereka daripada apa-apa pendakwaan jenayah sekiranya terdapat kekhilafan atau kesilapan yang disebabkan oleh kesilapan fakta," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BEKAITAN: Video sesak di CIQ: Polis rakam keterangan Fuziah

Bukan rempuhan tapi latihan kebakaran!

Video yang dimuat naik di akaun Facebook Fuziah menunjukkan keadaan bersesak-sesak melibatkan pekerja Malaysia dari Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, namun ia segera dipadam apabila didapati rakaman video lama.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Mengulas lanjut, Koo Ham berkata, kesilapan fakta adalah satu pembelaan lengkap di bawah Undang-Undang Am dan di bawah Kanun Keseksaan (Seksyen 76 & 79).

Artikel Berkaitan:

"Di bawah undang-undang jenayah negara kita, niat untuk melakukan jenayah merupakan asas sebelum sebarang tindakan itu boleh dikatakan sebagai satu tindakan jenayah.

"Kita seharusnya menunjukkan mana-mana kesilapan atau kekhilafan yang telah berlaku dan meminta pembetulan terhadap perkara tersebut dibuat," katanya.

Beliau berkata, pendakwaan hanya boleh dibuat sekiranya terdapat niat jahat untuk mencipta atau menyebarkan berita palsu.

"Ia adalah satu penyalahgunaan kuasa untuk mengambil tindakan terhadap seseorang yang membuat kesilapan yang tidak disengajakan kerana undang-undang adalah jelas bahawa orang itu tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah," katanya.