Padah laporan palsu, 19 kes didakwa di mahkamah

Fisol (dua kanan) pada sidang akhbar di IPK Kedah pada Rabu.
Fisol (dua kanan) pada sidang akhbar di IPK Kedah pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 25 laporan kes laporan palsu direkodkan oleh Polis Kedah pada tahun lalu dan 19 kes daripadanya telah dituduh di mahkamah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, penipuan laporan tersebut melibatkan kehilangan dokumen pengenalan diri, pasport serta dokumen penting bagi mengelakkan mereka dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Imigresen.

Menurutnya, statistik mendapati pengadu yang membuat laporan palsu menyatakan mereka adalah mangsa bagi kes-kes samun dan curi.

"Orang yang buat laporan tersebut kita ambil tindakan saya nak seru di sini setakat ini tahun 2023 kita terima 16 kes dan daripada 25 laporan tahun lepas 19 kita telah ambil tindakan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Rabu.

Jelas Fisol, 19 individu telah dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaaan iaitu kesalahan maklumat palsu dengan niat menyebabkan seorang penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada orang lain.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh penjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

"Pihak Polis menasihati orang ramai agar tidak sesekali mengambil mudah dengan tindakan membuat laporan palsu dan bersikap mementingkan diri sendiri.

"Sebaliknya digalakkan untuk tampil berkongsi maklumat dalam mencegah pelakuan jenayah demi keamanan semua pihak," ujarnya lagi.