Kampung Lombong perlu kemudahan masjid

Keadaan jemaah terpaksa solat Jumaat hingga ke tepi pagar surau.
Keadaan jemaah terpaksa solat Jumaat hingga ke tepi pagar surau.
A
A
A

SHAH ALAM - Terpaksa solat Jumaat hingga ke tepi pagar surau malah jemaah juga pernah menunaikan ibadah itu dalam keadaan hujan di kawasan tempat parkir.

Begitu gambaran keadaan dihadapi kariah di sekitar Kampung Lombong, Seksyen 29 di sini, apabila kemudahan surau sedia ada tidak lagi dapat menampung jumlah jemaah terutama ketika solat Jumaat.

No Image Caption

Kemudahan masjid yang dipohon sejak 11 tahun lalu kepada Pejabat Agama Islam Daerah dan telah dipanjangkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor pula belum dapat dilaksanakan berikutan dana masih belum mencukupi.

Timbalan Pengerusi Surau Nurul Iman, Mohd Sairi Mohd Isa berkata, penduduk kampung sudah lama berharap kemudahan masjid dapat dibina di kampung itu.

Pelan lakaran grafik reka bentuk Masjid Nurul Iman yang bakal dibina. Gambar kecil atas, Mohd Sairi dan Mohd Noor.
Pelan lakaran grafik reka bentuk Masjid Nurul Iman yang bakal dibina. Gambar kecil atas, Mohd Sairi dan Mohd Noor.

Menurutnya, ketika ini masjid berdekatan terletak agak jauh iaitu kira-kira tiga kilometer.

“Sekarang ini solat Jumaat dianjur di Surau Nurul Iman yang dibina sejak 1990 tapi keadaan sungguh menyedihkan kerana ruang solat tidak mencukupi kerana ia hanya mampu tampung 500 jemaah dalam satu-satu masa.

Artikel Berkaitan:

“Pernah terjadi ketika hujan, jemaah yang solat di tapak parkir teruskan juga tunaikan ibadah dalam keadaan kebasahan kerana tiada bumbung di kawasan itu. Nak buat macam mana ruang solat dah penuh,” katanya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masjid Nurul Iman, Mohd Noor Basiron berkata, cadangan pembinaan masjid sudah ada dan kebenaran pembinaan telah diperoleh daripada pihak berkenaan.

Tapak pembinaan Masjid Nurul Iman Kampung Lombong.
Tapak pembinaan Masjid Nurul Iman Kampung Lombong.

Namun katanya, kerja-kerja tanah tidak dapat dimulakan berikutan dana sebanyak RM5 juta untuk pembinaan masjid belum mencukupi.

Katanya, Majlis Agama Selangor (Mais) menetapkan supaya pihak jawatankuasa pembinaan mengusahakan pencarian 70 peratus daripada jumlah dana diperlukan sebelum kerja boleh dimulakan.

“Jawatankuasa perlu cari dana dulu baharu kerja boleh dimulakan, baki selebihnya Mais akan tanggung. Sekarang baru ada dalam 10 peratus saja, perlu cari 60 peratus lagi untuk kita mulakan segera kerja pembinaan.

“Mais hanya beri kebenaran mula kerja bila jumlah dana ditetapkan sudah dapat dikumpul,” katanya.

Pelan lakaran grafik reka bentuk Masjid Nurul Iman yang bakal dibina.
Pelan lakaran grafik reka bentuk Masjid Nurul Iman yang bakal dibina.

Mohd Noor berkata, keperluan masjid di kawasan itu sangat mendesak berikutan penambahan jumlah penduduk sejajar pembangunan projek perumahan baru di sekitar Kampung Lombong, Kampung Jaya Sepakat dan Rimbayu.

Katanya, masjid baharu di atas tanah seluas 1.12 hektar itu dijangka dapat menampung antara 1,500 hingga 2,000 jemaah dalam satu satu masa

“Kita jangka selepas kerja mula, masjid akan siap dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Beliau berharap, selepas kemudahan masjid dibina dapatlah lebih 10,000 penduduk di sekitar kawasan menggunakannya kelak

“Saya mohon bantuan orang ramai supaya dapat menyumbang dana kepada tabung pembangunan Masjid Nurul Iman ini.

“Segala penerangan berhubung pembinaan masjid boleh diperoleh di laman web https://www.masjidnuruliman.my atau berhubung dengan Pengerusi Pembangunan Masjid, Ir Azman Talib ditalian 0199533895 atau Mohd Noor (0136347921),” katanya.

Sumbangan boleh dibuat menerusi nombor akaun Maybank 562786067119 atas nama Jawatankuasa Pembangunan Masjid Nurul Iman.