Zon hijau mampu bantu pulihkan ekonomi negara

Sebahagian aktiviti ekonomi boleh dibenarkan untuk membantu memulihkan ekonomi serta pendapatan rakyat. - Foto Bernama
Sebahagian aktiviti ekonomi boleh dibenarkan untuk membantu memulihkan ekonomi serta pendapatan rakyat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan wajar mempertimbangkan pendekatan mengembalikan suasana kehidupan rakyat dengan sebahagian aktiviti ekonomi boleh dibenarkan untuk membantu memulihkan ekonomi serta pendapatan rakyat.

Penganalisis Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, aktiviti ekonomi di kawasan yang dikategorikan sebagai zon hijau dilihat boleh dijalankan bagi membolehkan rakyat menjana pendapatan seperti biasa.

Bagaimanapun pada masa sama katanya, prosedur operasi standard (SOP) perlu diperketatkan untuk menghalang kehadiran pekerja dari zon merah.

“Ini bagi memastikan penularan jangkitan daripada zon merah harus dielakkan.

“Garis panduan juga perlu diselaraskan oleh kerajaan selain memberikan komunikasi berkesan kepada syarikat yang beroperasi berhubung keselamatan pekerja,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, kawalan rapi perjalanan keluar masuk ke zon hijau juga perlu dikekalkan oleh pasukan keselamatan selain garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan urusan penjarakkan sosial, kebersihan diri, pemakaian topeng muka serta larangan majlis keramaian atau perhimpunan awam dikekalkan.

“Langkah-langkah ini akan memberi galakan kepada rakyat terutama di zon hijau untuk terus mematuhi PKP, mengurangkan jangkitan serta mula memulihkan ekonomi setempat.

“Untuk menggerakkan ekonomi secara tradisional, mungkin akan mengambil masa lama untuk kembali kerana pengguna masih khuatir. Justeru, kita perlu kreatif dalam ekonomi normal baharu ini," katanya.

Artikel Berkaitan: