Apple crumble resipi air tangan ibu

Marina menyediakan bahan-bahan untuk memasak apple crumble di kediamannya di Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Marina menyediakan bahan-bahan untuk memasak apple crumble di kediamannya di Mont Kiara, Kuala Lumpur.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah Pembangunan Perniagaan Synergy Promenade Sdn Bhd, Datuk Marina Hashim tidak dapat melupakan resipi air tangan ibunya, Sabariah Abdul Aziz yang memasak apple crumble sejak beliau kecil lagi.

Marina berkata, beliau telah merasai keenakan makanan pencuci mulut dari Barat itu sejak berusia lapan tahun dan kini masakan tersebut turut menjadi kegemaran anak-anaknya.

"Saya masih ingat makan apple crumble bersama adik-beradik yang lain. Mereka juga sangat suka sehingga ibu saya masak hidangan ini hampir setiap minggu.

"Apabila saya sudah mempunyai anak, saya pula masakkan apple crumble untuk mereka dan anak-anak sangat menyukainya. Mereka juga mahu saya masak setiap minggu sama seperti saya kecil dahulu," katanya.

Marina kini berusia 43 tahun dan mempunyai enam cahaya mata yang terdiri daripada tiga orang lelaki dan tiga orang perempuan serta mempunyai seorang menantu serta seorang cucu.

Menurut Marina, resipi apple crumble sangat mudah dimasak dan enak dimakan bersama aiskrim.

"Makanan ini memang sesuai dimakan terutama pada bulan ramadan dan perlu dicuba oleh ibu-ibu yang inginkan kelainan ketika berbuka puasa," katanya.

Beliau yang berasal dari Kuantan, Pahang berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, masa banyak dihabiskan dengan memasak untuk keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Saya rasa bersyukur dan gembira kerana ketika tempoh PKP ini membolehkan kami sekeluarga meluangkan lebih banyak masa bersama.

"Sebelum ini, saya sibuk bekerja dan selalunya pembantu rumah yang akan masak untuk anak-anak," kata beliau.

*****

APPLE CRUMBLE

BAHAN-BAHAN

  • 4 biji epal hijau atau epal merah
  • 1/2 sudu kecil serbuk kayu manis
  • 1 sudu besar perahan jus lemon
  • 1/2 cawan gula perang
  • 1 1/3 cawan tepung gandum biasa
  • 6 oz / 170gram mentega
  • 1 cawan gula perang
  • 1 cawan oats atau cornflake

CARA MENYEDIAKAN

- Gaulkan bual epal dengan serbuk kayu manis, perahan jus lemon dan gula perang. Ketepikan sementara untuk buat crumble.

- Dalam bekas atau mangkuk yang lain, gaulkan tepung gandum, gula dan oats sehingga sebati.

- Mentega beku dihiris bentuk kiub kecil. Sebatikan dengan adunan nombor dua sehingga menjadi seperti bread crumbs.

- Panaskan oven pada suhu 180 darjah celcius selama 15 minit terlebih dahulu. Sapu marjerin keliling loyang dan letakkan epal tadi ke dalam loyang, dan yang terakhir tabur crumbs di atas.

- Masak selama 30 minit atau sehingga crumbs bertukar warna keperangan-perangan.