Pulau Pinang dilanda ribut, banjir kilat

Hujan lebat lebih dua jam di Pulau Pinang hari ini telah menyebabkan banyak kawasan di negeri itu dilanda banjir kilat dan beberapa buah rumah di daerah Seberang Perai Utara (SPU) turut mengalami kerosakan akibat ribut dalam kejadian tersebut.- Foto 123RF
Hujan lebat lebih dua jam di Pulau Pinang hari ini telah menyebabkan banyak kawasan di negeri itu dilanda banjir kilat dan beberapa buah rumah di daerah Seberang Perai Utara (SPU) turut mengalami kerosakan akibat ribut dalam kejadian tersebut.- Foto 123RF
A
A
A

KEPALA BATAS - Hujan lebat lebih dua jam di Pulau Pinang hari ini telah menyebabkan banyak kawasan di negeri itu dilanda banjir kilat dan beberapa buah rumah di daerah Seberang Perai Utara (SPU) turut mengalami kerosakan akibat ribut dalam kejadian tersebut.

Hujan lebat yang turun bermula jam 3 petang menyebabkan kawasan di Kepala Batas, Permatang Buluh, Lahar Yooi, Nyior Sebatang, Sungai Dua, Machang Bubok, Tasek Gelugor, Simpang Ampat, Bagan Ajam, Merbau Kudung iaitu bahagian pulau dinaiki air di antara 0.1 hingga 0.4 meter.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, lebih 50 buah rumah terutama di kawasan SPU yang berada di kawasan rendah dimasuki air berikutan limpahan air akibat hujan lebat lebih dua jam di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini tiada pemindahan mangsa dilakukan dan air banjir juga mula surut.

Selain itu katanya, beberapa buah rumah di kawasan SPU turut mengalami kerosakan akibat ribut dan pihaknya sedang membuat pemeriksaan serta tinjauan bagi mengetahui jumlah sebenar kerugian.

Seorang mangsa ribut di Permatang Buluh, Mohd Azhar, 45, berkata, sebahagian bumbung hadapan rumahnya diterbangkan ribut dan rumah kampung setingkatnya itu juga turut dilanda banjir kilat dalam kejadian pada petang ketiga umat Islam berpuasa.

"Mula-mula hujan lebat dalam jam 3 lebih dan saya serta keluarga memang ada dalam rumah, dalam jam 5 petang macam tu, tiba-tiba angin kuat... lepas tu bunyi sangat kuat disusuli dengan bumbung terbang dibawa ribut.

"Kejadian tersebut sangat pantas dan saya pada masa sama terus menjerit kepada anak-anak supaya selamatkan diri dengan berlindung di bahagian dapur, ruang tamu dah dimasuki air hujan waktu tu... Alhamdulilah, kami semua selamat," katanya di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Pesawah itu juga berkata, rumah beberapa jirannya turut mengalami kerosakan akibat ribut dan mereka bernasib baik kerana tiada yang cedera dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada 10 pemilik rumah di daerah tersebut yang dilanda ribut dalam kejadian hari ini namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan. - Bernama