X

Kindly register in order to view this article
!

Enam beranak berpindah dari pondok usang ke rumah sewa

Ebit Lew berbual dengan anak-anak Megat Noor di Kampung Air Kembai Kupang Baling. - Foto Facebook Ebit Lew
A
A

BALING - Kritikan beberapa pihak tidak melemahkan semangat pendakwah terkenal, Ebit Lew untuk terus menghulurkan bantuan sebaik mungkin kepada pihak memerlukan.

Terbaharu menerusi entri Facebooknya, sebuah keluarga enam beranak di Kampung Air Kembai, Kupang di sini yang menjadikan sebuah pondok usang dalam kebun getah sebagai tempat berteduh sejak setahun lalu turut mendapat perhatian beliau.

Ebit yang turut meluahkan perasaan sedih dengan keadaan keluarga tersebut telah mencarikan rumah sewa selesa buat keluarga berkenaan.

"Sebelum hadir mereka kata ketua masyarakat di sini telah datang semalam dan berjanji menyediakan rumah selepas PKP.

"Mereka juga telah menerima bantuan daripada pelbagai pihak termasuk pihak sekolah.

Ebit Lew sebak melihat keadaan pondok usang yang dihuni enam beranak. - Foto Facebook Ebit Lew
Ebit Lew sebak melihat keadaan pondok usang yang dihuni enam beranak. - Foto Facebook Ebit Lew

"Saya berusaha mencari sebuah rumah sewa kepada mereka kerana tidak sanggup melihat keadaan begini.

"Syukur alhamdulillah mereka telah pindah, saya telah bayarkan dua bulan sewa termasuk bil air dan elektrik," tulisnya.

Dalam masa sama, beliau berjanji akan membantu pembelajaran anak-anak terbabit sehingga ke sekolah agama atau madrasah agar mampu menjadikan mereka insan hebat dunia dan akhirat.

Rata-rata pengguna media sosial pula melahirkan rasa gembira kerana beliau kembali aktif membantu golongan kurang bernasib baik setelah menyatakan hasrat undur diri sebelum ini akibat tindakannya disalah erti.

Sementara itu, Megat Noor Asyeqi Megat Hussin, 36, berkata, dia bersama isteri, Siti Roshamilia Mat Radzi, 32, dan empat anak menetap di pondok terbabit berikutan pendapatannya sebagai penoreh getah terjejas.

Keadaan hadapan pondok yang menjadi tempat enam beranak berteduh. - Foto Facebook Ebit Lew
Keadaan hadapan pondok yang menjadi tempat enam beranak berteduh. - Foto Facebook Ebit Lew

Menurutnya, walaupun hidup serba kekurangan, namun pendidikan anak-anak tetap diutamakan sehingga mereka diumumkan antara murid cemerlang di sekolah.

"Puteri Amira Husna, 11, mendapat tempat pertama peperiksaan akhir tahun dan turut mendapat tempat pertama di sekolah agama tahun lalu, manakala Puteri Aleesya Husna, 8, pula mendapat tempat kedua peperiksaan akhir tahun dan tempat pertama di sekolah agama," katanya.

Pasangan itu turut mempunyai dua lagi anak iaitu Megat Hanif Mukhriz, 7, dan Puteri Anisa Husna, 4.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!