Titah Tuanku Muhriz dan mesej di sebalik pelantikan Exco baharu

TITAH Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu supaya memahami batas tugas dan tidak melampaui bidang kuasa masing-masing membawa mesej besar dalam konteks kemelut politik negeri itu.
Peringatan baginda bukan sekadar nasihat kepada enam Exco yang baharu sahaja mengangkat sumpah jawatan pada Jumaat.
Tetapi, ia satu isyarat jelas bahawa kestabilan pentadbiran negeri tidak boleh dikompromi oleh kepentingan, percaturan atau tindakan individu yang mengetepikan tatakelola pemerintahan.
Apatah lagi Negeri Sembilan baharu sahaja melalui episod ketidaktentuan politik yang berlarutan hampir empat bulan sehingga menyaksikan perubahan barisan kepimpinan Exco.
Justeru, titah baginda supaya peristiwa dan isu sebelum ini dijadikan pengajaran memperlihatkan kepentingan mengambil iktibar daripada kelemahan pengurusan serta konflik yang pernah berlaku.
Dalam sebuah pentadbiran kerajaan, pembahagian portfolio dan bidang kuasa bukan sekadar urusan teknikal, tetapi mekanisme penting bagi memastikan setiap keputusan dibuat mengikut saluran, tanggungjawab dan peraturan yang termaktub.
Sebarang tindakan melangkaui batas tersebut berpotensi mencetuskan pertindihan kuasa, ketegangan dalaman serta menjejaskan kepercayaan terhadap institusi pentadbiran.
Pada masa sama, pesanan Tuanku Muhriz supaya kepentingan rakyat diutamakan, selain menekankan integriti dan profesionalisme, wajar menjadi prinsip utama setiap Exco.
Pelantikan ke jawatan berkenaan bukan sekadar pengiktirafan politik, tetapi amanah yang perlu diterjemahkan melalui dasar, keputusan dan pelaksanaan kepada rakyat.
Apa yang lebih penting, barisan Exco baharu perlu membuktikan bahawa perubahan kepimpinan ini mampu membawa pentadbiran kembali kepada landasan stabil dan berfungsi.
Pada akhirnya, rakyat tidak menilai kerajaan berdasarkan siapa yang memegang jawatan semata-mata.
Sebaliknya, sejauh mana amanah tersebut dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, disiplin dan cekap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
