Terima rasuah RM500: Ketua balai polis digantung kerja

KOTA BHARU - Ketua balai polis berpangkat sarjan mejar yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digantung kerja sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tindakan itu diambil susulan siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM, selain pihaknya turut melaksanakan siasatan tatatertib secara selari.
Menurut beliau, proses menggantung tugas pegawai terbabit sedang dilaksanakan bagi memastikan siasatan berjalan lancar.
"Kes itu masih dalam siasatan SPRM. Jadi kita akan gantung kerja dahulu.
"Pada masa sama, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) turut menjalankan siasatan tatatertib secara selari dengan siasatan SPRM.
"Proses menggantung kerja itu sedang dilaksanakan sementara siasatan diteruskan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.

Terdahulu, media melaporkan seorang ketua balai polis direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah RM500 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing.
Perintah reman hingga 26 Julai terhadap suspek berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selepas menerima permohonan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek dipercayai menerima wang rasuah berjumlah RM500 daripada seorang warga asing yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan.
Mohd Yusoff memberitahu, tindakan lanjut terhadap pegawai berkenaan bergantung kepada hasil siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

