11 pelajar SMK Jenjarom alami ketidakselesaan selepas makan ayam gepuk

Seramai 11 pelajar SMK Jenjarom mengalami ketidakselesaan selepas makan ayam gepuk di kantin sekolah. Gambar hiasan janaan AI
Seramai 11 pelajar SMK Jenjarom mengalami ketidakselesaan selepas makan ayam gepuk di kantin sekolah. Gambar hiasan janaan AI
A
A
A

KUALA LANGAT - Seramai 11 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom mengalami ketidakselesaan selepas menikmati makan tengah hari di kantin sekolah berkenaan pada Khamis.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan pantas penolong kanan hal ehwal murid membolehkan semua pelajar terbabit menerima rawatan dan ubat-ubatan di Klinik Kesihatan Jenjarom.

Menurutnya, siasatan awal mendapati menu ayam gepuk yang disediakan pengendali kantin sekolah berkenaan tidak dinyahbeku dengan sewajarnya sehingga menyebabkan kejadian itu.

"Susulan kejadian itu, kantin sekolah berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Amirudin berkata, insiden itu setakat ini adalah kes terpencil yang hanya membabitkan SMK Jenjarom dan tidak memberi kesan kepada mana-mana sekolah lain.

"Kerajaan negeri akan menjalankan pemeriksaan secara rawak di kantin sekolah-sekolah dengan kerjasama JKNS untuk memastikan proses penyediaan makanan yang disediakan di sekolah menepati prosedur operasi standard bagi keselamatan serta kesihatan pelajar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!