Gelanggang PRN Sarawak ke-13 dibuka esok, 82 kerusi DUN jadi rebutan

KUCHING - Gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 secara rasmi dibuka esok dengan proses penamaan calon berlangsung serentak di 82 Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi merebut 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Bumi Kenyalang.
Proses penyerahan kertas penamaan calon dijadualkan berlangsung selama sejam bermula 9 pagi hingga 10 pagi sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan senarai rasmi calon yang layak bertanding, menandakan bermulanya tempoh berkempen selama 14 hari menjelang hari pengundian pada 12 Dis ini.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan bertanding di kesemua 82 kerusi DUN dalam misi mempertahankan mandat besar yang dimenangi pada PRN ke-12.
GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), dengan mempertaruhkan gabungan penyandang serta 11 muka baharu.
Ketika GPS bersedia mempertahankan mandat besarnya dengan gabungan pemimpin berpengalaman dan generasi pelapis, beberapa parti politik nasional mengumumkan tidak bertanding, manakala parti pembangkang yang meneruskan saingan kali ini kelihatan selektif dalam menentukan kerusi yang menjadi sasaran.
Keputusan itu menyusul selepas beberapa parti lain, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah, Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS serta Parti Wawasan Negara mengesahkan tidak meletakkan calon pada PRN kali ini atas pertimbangan politik dan usaha memelihara kestabilan negeri.
DAP pula mengesahkan bakal bertanding di 12 kerusi DUN setakat Khamis, sekali gus menjadikannya satu-satunya komponen Pakatan Harapan (PH) serta parti politik berpangkalan di Semenanjung Malaysia yang menyertai PRN Sarawak kali ini.
Selain GPS dan DAP, landskap saingan esok turut dijangka diwarnai penyertaan parti tempatan lain antaranya Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM), selain kemungkinan kemunculan calon bebas di beberapa kawasan.
Gambaran sebenar persaingan akan diketahui esok.
Selain percaturan politik, keadaan geografi Sarawak yang luas serta cuaca tidak menentu turut menuntut kesiapsiagaan logistik daripada jentera parti dan petugas pilihan raya.
Menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), keadaan cuaca di Sarawak bagi Sabtu ini dijangka hujan di beberapa tempat pada sebelah pagi, sekali gus menjadi antara faktor yang perlu diberi perhatian oleh jentera parti dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon.
Pada PRN Sarawak yang lepas, GPS mencatat kemenangan besar apabila memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) meraih empat kerusi dan DAP memenangi dua kerusi.
SPR menetapkan pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

