PKR sah tidak bertanding PRN Sarawak

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak memutuskan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sebagai tanda menghormati semangat kerjasama dan muafakat politik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan.
Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama Penasihat PKR Sarawak, Datuk Seri Hafsah Harun; Naib Presiden PKR, Roland Engan dan Pengerusi PKR Sarawak, Mahmud Epah.
"Pertimbangan utama yang mendasari pendirian ini adalah sebagai tanda menghormati semangat kerjasama, muafakat dan komitmen politik dalam Kerajaan Perpaduan bagi memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan.
"Keputusan ini juga bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta memastikan agenda pembangunan, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sarawak terus diberikan perhatian," katanya.
Justeru, PKR Sarawak telah mengarahkan seluruh jentera dan pimpinan parti di semua peringkat supaya mematuhi serta menghormati ketetapan berkenaan.
Parti itu turut mengingatkan supaya semua terlibat menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan khususnya GPS.
"PKR Sarawak akan terus melaksanakan tanggungjawab serta khidmat bakti kepada rakyat Sarawak tanpa mengabaikan peranannya di negeri ini," ujarnya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini dan pengundian awal pada 8 Disember.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

