Pendakwaan kes hasutan terhadap Mubarak digantung

Pasukan peguam yang mewakili Mubarak hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Jumaat.
Pasukan peguam yang mewakili Mubarak hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN – Pendakwaan bagi kes hasutan membabitkan Undang Luak Sungei Ujong yang dipertikaikan, Datuk Mubarak Thahak @ Dohak yang sepatutnya didengar di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, digantung sementara menunggu penentuan Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu dibuat Hakim, Tasnim Abu Bakar selepas membenarkan permohonan bantahan awal yang dikemukakan pasukan pembelaan berhubung bidang kuasa mahkamah untuk mendengar pertuduhan terhadap Mubarak.

Tasnim berkata, mahkamah membenarkan permohonan berkenaan berdasarkan Seksyen 30(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Seksyen itu melibatkan penggantungan prosiding, termasuk menghantar rekod prosiding ke Mahkamah Tinggi berhubung persoalan kesan peruntukan Perlembagaan dan isu yang dibangkitkan pembelaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Januari tahun depan untuk pengurusan kes.

Pasukan pembelaan turut memohon supaya Mubarak dikecualikan daripada menghadiri prosiding akan datang sehingga persoalan perlembagaan berkenaan diputuskan.

Bagaimanapun, hakim berkata, permohonan itu bergantung kepada keputusan atau status permohonan sama di Mahkamah Tinggi kelak.

Dalam prosiding terbabit, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Husni Fairos Ramly dan Anas Bashari.

Sementara itu, Mubarak diwakili peguam diketuai Asmawi Ismail, Emirul Sarifudin Nor Azmi, Dr Hanif Hassan, Deidra Nur Azmi, Nabila Nur Azmi, Fathin Syuhadah Mohamad Yasin dan Vel Manoharan.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Mubarak bakal didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Bagaimanapun, ketika prosiding pada Jumaat, Asmawi memaklumkan anak guamnya tidak hadir untuk menjawab pertuduhan sebelum mengemukakan bantahan awal terhadap bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Beliau berhujah, kes berkenaan sepatutnya berada di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Tinggi Khas seperti diperuntukkan dalam Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, kedudukan Mubarak sebagai salah seorang daripada Undang Yang Empat, iaitu empat Pembesar Pemerintah tertinggi Negeri Sembilan bersama Undang Luak Jelebu, Johol dan Rembau, perlu diberikan pertimbangan sewajarnya.

“Hak, keistimewaan dan kedudukan perlembagaan anak guamnya sebagai Pembesar Pemerintah perlu diteliti terlebih dahulu bagi menentukan kesahan prosiding berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, hujahan itu dibantah pihak pendakwaan yang menegaskan kedudukan Mubarak sebagai Undang Luak Sungei Ujong tidak lagi terpakai ketika kesalahan didakwa dilakukan.

Shahrizat berkata, Mubarak telah diberhentikan daripada jawatan berkenaan pada 13 Mei 2025, sebelum tarikh kejadian yang menjadi asas pertuduhan.

Lebih-lebih lagi katanya, perkara itu disahkan menerusi Warta Kerajaan Negeri Sembilan pada Oktober lalu.

“Tertuduh dalam kes ini bukan lagi dalam kapasiti Undang Luak Sungei Ujong, maka hujahan pembelaan tidak lagi terpakai.

“Warta Kerajaan Negeri jelas menunjukkan tertuduh telah diberhentikan daripada jawatan sejak Mei tahun lalu,” katanya.

Sehubungan itu, Husni memohon mahkamah menolak bantahan awal berkenaan dan membenarkan kes diteruskan di Mahkamah Sesyen.

Beliau turut meminta waran tangkap dikeluarkan terhadap Mubarak atas alasan tertuduh gagal hadir ke mahkamah tanpa memberikan alasan munasabah.

Mengulas hujahan pendakwaan, Hanif pula berkata, Warta Kerajaan berkenaan hanya bersifat hebahan dan tidak mempunyai sifat mengikat.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kesahan keanggotaan mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai lalu.

Katanya, perkara itu timbul susulan kewujudan perintah sekatan sementara atau ad-interim yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Seremban, sekali gus menghalang enam daripada lapan ahli termasuk Mubarak daripada menghadiri sidang DKU berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!