Jenazah bekas Peguam Negara, Abdul Gani Patail selamat dikebumi

PUTRAJAYA - Jenazah bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini, 11.30 pagi ini.
Van yang membawa jenazah anak kelahiran Lahad Datu, Sabah itu tiba di tanah perkuburan pada 10.50 pagi.
Kira-kira 300 orang menghadiri pengebumian itu, termasuk ahli keluarga serta kenalan dari pelbagai kaum, manakala bacaan talkin dipimpin oleh Imam Masjid Mahmoodiah Presint 18 Muhammad Rafuwan Putra Affendi.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Musolla Presint 20 untuk urusan solat jenazah yang diimamkan oleh Muhammad Rafuwan Putra dan disertai kira-kira 200 jemaah.
Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, bekas penasihat Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, bekas Menteri Pendidikan, Tan Sri Idris Jusoh serta bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Bapa kepada sepasang cahaya mata yang memegang jawatan Peguam Negara selama 13 tahun bermula 2002 hingga 2015 itu menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 71 tahun di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, pada 9.15 malam tadi akibat jangkitan.
Peguam Negara kelapan yang dilahirkan pada 6 Oktober 1955 itu memulakan kerjaya dalam bidang kehakiman pada 1980 sebelum berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara, Tawau, Sabah.
Allahyarham ialah rakyat Sabah pertama yang memegang jawatan itu selepas pejabat Peguam Negara Persekutuan ditubuhkan di negeri berkenaan.
Sepanjang perkhidmatan, Abdul Gani pernah berkhidmat sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Sabah, Ketua Bahagian Pendakwaan dan Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang.
Antara kes berprofil tinggi yang dikendalikan Allahyarham ialah pendakwaan terhadap 30 individu berhubung insiden pencerobohan di Lahad Datu pada Februari 2013.
Abdul Gani juga terlibat dalam pasukan pendakwaan bagi kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) selama dua tahun bermula 1 Oktober 2011, selain memegang jawatan Pengerusi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
