Operasi kecemasan di KLCC cetus tanda tanya, ini penjelasan polis

KUALA LUMPUR – Suasana kecoh di sekitar kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini, yang tular di media sosial pada Khamis, menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang ramai apabila beberapa agensi keselamatan dilihat menjalankan operasi kecemasan.
Bagaimanapun, situasi berkenaan bukan berpunca daripada sebarang kejadian serangan sebenar, sebaliknya membabitkan latihan simulasi kecemasan yang dijalankan di Gas District Cooling Plant, KLCC di sini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, latihan berkenaan membabitkan beberapa senario kecemasan yang disimulasikan bagi menguji keupayaan anggota dalam menangani insiden berisiko tinggi.
Beliau berkata, latihan itu turut menguji kecekapan anggota dalam melaksanakan tindakan segera, kawalan kawasan serta pengurusan keselamatan orang awam.
"Ketua Polis Daerah Dang Wangi bertindak sebagai Group Commander dalam menggerakkan sumber manusia dan aset operasi serta memastikan setiap tindakan di lapangan dilaksanakan dengan pantas, teratur dan berkesan.
"Simulasi yang dijalankan memperlihatkan kerjasama erat dan sinergi operasi antara IPD Dang Wangi dengan agensi sahabat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ahmad Azwan berkata, latihan itu turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya, kesepaduan tindakan, perkongsian kepakaran dan penyelarasan sumber antara agensi menjadi tunjang utama bagi memastikan setiap insiden dapat ditangani secara bersepadu, sistematik dan berkesan.
Beliau turut mengesahkan tiada kejadian serangan sebenar berlaku seperti yang mungkin ditanggapi orang ramai susulan penularan hantaran berkenaan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

