Belanjawan 2027: LTAT perkukuh pelaburan pertahanan, farmaseutikal

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan terus memperkukuh pelaburan dalam sektor pertahanan dan farmaseutikal sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan keupayaan industri tempatan serta menyokong keselamatan negara.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, kedua-dua sektor itu mempunyai kepentingan strategik kerana berkait rapat dengan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), daya tahan sistem kesihatan dan keupayaan ekonomi negara.
Menurutnya, komitmen itu akan dilaksanakan menerusi pelan strategik lima tahun GEMPUR30, selaras dengan keutamaan negara dan tanggungjawab LTAT memastikan dana pencarum diuruskan secara bertanggungjawab.
“Ekosistem pertahanan negara yang kukuh merupakan asas penting dalam mempertahankan kedaulatan serta memelihara keamanan dan kestabilan yang menjadi tunjang kemakmuran Malaysia.
“LTAT menyambut baik komitmen berterusan kerajaan terhadap perbelanjaan pertahanan bagi memastikan kesiapsiagaan ATM sentiasa terpelihara, di samping membangunkan keupayaan domestik untuk memperkukuh keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Belanjawan 2027 berjumlah RM510 bilion ketimbang RM470 bilion.
Beliau berkata, jumlah berkenaan meliputi RM376.8 bilion belanja mengurus Persekutuan, RM83 bilion belanja pembangunan Persekutuan dan RM25 bilion pelaburan Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Mengulas lanjut, Mohammad Ashraf berkata, LTAT akan meneruskan sokongan terhadap industri farmaseutikal menerusi pelaburan strategiknya dalam Pharmaniaga, selain memperkukuh ekosistem pertahanan melalui Kumpulan Boustead.
Katanya, pelaburan berkenaan mencerminkan usaha LTAT membangunkan keupayaan industri tempatan dan meningkatkan kapasiti dalam sektor kritikal.
Dalam perkembangan berkaitan, LTAT turut menyambut baik inisiatif GEAR-uP yang merangkumi agenda pelaburan domestik bernilai RM25 bilion bagi menggerakkan modal untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Menurutnya, kerjasama antara syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), kerajaan dan sektor swasta berpotensi menyokong pembangunan sektor pertumbuhan tinggi serta mewujudkan nilai ekonomi yang mampan.
Pada masa sama, LTAT menegaskan kepentingan mengimbangi peluang pelaburan strategik dengan tanggungjawab memelihara kepentingan jangka panjang pencarum.
Institusi itu juga meneruskan usaha memperkukuh kesejahteraan sosioekonomi komuniti ATM menerusi program pemerkasaan keusahawanan, literasi kewangan dan latihan peralihan kerjaya bagi anggota yang bakal bersara.
Inisiatif tersebut bertujuan membantu anggota ATM, veteran serta keluarga mereka membina daya tahan kewangan dan sumber pendapatan mampan selepas tamat perkhidmatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

