Satu peluang pendidikan mengubah masa depan sebuah keluarga

BAGI seorang ibu di Teluk Intan, Perak, menjual motosikal bukan sekadar melepaskan sebuah kenderaan. Itulah satu-satunya aset yang dimiliki, hasil jualan itulah yang digunakan bagi memastikan anaknya terus bersekolah, walaupun kehidupan mereka dihimpit kesempitan.
Bertahun-tahun kemudian, anak itu, Nurul Nadia Mohamad Noor Affandi, berdepan pula satu cabaran yang mungkin kelihatan kecil kepada orang lain, tetapi cukup besar buat dirinya.
Sebelum berangkat ke China untuk menyambung pengajian, beliau terpaksa mengumpulkan RM18 bagi tambang bas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sesi persediaan sebelum berlepas.
RM18 itu akhirnya menjadi lebih daripada sekadar tambang. Ia menjadi lambang bahawa impian seseorang kadangkala hanya dipisahkan oleh satu peluang.
Peluang itu hadir pada tahun 2017 apabila Nadia menerima Biasiswa Yayasan Khazanah untuk mengikuti pengajian dalam bidang sosiologi dan sains politik di Universiti Tsinghua, China.
Di situlah kehidupannya mula berubah, bukan sahaja dari segi akademik, malah daripada cara beliau memahami manusia dan kehidupan.
“Saya belajar bahawa seseorang itu dibentuk oleh pelbagai faktor dan keadaan, bukan hanya cita-cita dan tindakannya sendiri. Ia benar-benar mengubah cara saya berfikir dan mengajar saya untuk meletakkan diri dalam keadaan orang lain,” katanya.
Pengajian dalam bidang sosiologi menjadikan Nurul Nadia melihat semula perjalanan hidupnya daripada perspektif yang berbeza.
Beliau mula memahami bahawa pengorbanan ibunya bukan sekadar usaha membesarkannya, tetapi satu bentuk keyakinan bahawa pendidikan mampu mengubah masa depan keluarga mereka.
Hubungan mereka juga menjadi semakin rapat. Sehingga hari ini, walaupun bertugas di Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Nadia tetap pulang ke Teluk Intan hampir setiap minggu untuk meluangkan masa bersama wanita yang menjadi pendorong utama kepada setiap kejayaannya.
Bagi Nurul Nadia, pendidikan bukan sekadar membuka pintu ke universiti ternama dunia. Ia membawanya pulang dengan penghargaan yang jauh lebih besar terhadap keluarga yang telah berkorban untuk memastikan beliau sampai ke destinasi itu.
Perjalanan berbeza, impian yang sama
Jika Nurul Nadia dibesarkan oleh seorang ibu yang sanggup menjual satu-satunya aset keluarga demi memastikan anaknya terus belajar, perjalanan Dr Tan Chee Yong pula dibentuk oleh seorang bapa yang menanam minat terhadap sejarah sejak beliau masih kecil.

Namun, kehidupannya berubah apabila kehilangan bapanya ketika masih di bangku sekolah rendah. Tidak lama kemudian, ibunya pula meninggal dunia akibat kanser ketika beliau berusia 18 tahun.
Dalam usia yang masih muda, beliau terpaksa meneruskan kehidupan bersendirian. Namun kehilangan itu tidak memadamkan cita-citanya untuk terus belajar. Sebaliknya, ia menguatkan azam untuk meneruskan impian yang pernah disemai oleh kedua-dua ibu bapanya.
Peluang itu hadir apabila beliau menerima Biasiswa Yayasan Khazanah pada tahun 2017 untuk melanjutkan pengajian dalam bidang hubungan antarabangsa di King’s College London sebelum menyambung pengajian sarjana dalam bidang sosiologi dan seterusnya doktor falsafah dalam kajian pembangunan di Universiti Cambridge.
Namun bagi Chee Yong, perjalanan itu bukan tentang nama universiti yang menempatkannya belajar. Ia tentang bagaimana ilmu yang diperoleh boleh dibawa pulang untuk memberi manfaat kepada negara.
Sekembalinya ke Malaysia pada tahun 2025, beliau menyertai bahagian penyelidikan Khazanah dalam bidang makroekonomi dan geopolitik serta membantu Projek Warisan menerusi pembangunan pameran sejarah Charting the Course of Merdeka di Seri Negara.
Minat terhadap sejarah yang dipupuk sejak kecil akhirnya menjadi sebahagian daripada sumbangannya kepada negara. Beliau percaya setiap individu mempunyai peranan tersendiri dalam membentuk masyarakat.
“Bagi saya, dunia ini ibarat sebuah orkestra. Setiap orang memainkan peranan yang berbeza, tetapi semuanya penting untuk menghasilkan persembahan yang baik. Begitu juga dengan masyarakat kita,” katanya.
Kisah Chee Yong membuktikan bahawa pendidikan bukan sekadar mengubah kehidupan seseorang, tetapi memberi ruang untuk seseorang kembali membina masyarakat yang pernah membentuk dirinya.
Dua dekad membina lebih daripada graduan
Kisah Nurul Nadia dan Chee Yong hanyalah dua daripada hampir 1,900 perjalanan yang telah dibentuk oleh Yayasan Khazanah sejak penubuhannya pada tahun 2006. Namun, bagi Yayasan Khazanah, sebuah biasiswa hanyalah permulaan.
Sepanjang tempoh pengajian, penerima biasiswa mengikuti program pembangunan kepimpinan, pementoran bersama tokoh korporat, latihan industri, kerja sukarela bersama pertubuhan bukan kerajaan serta pelbagai bentuk pendedahan yang membentuk mereka sebagai pemimpin masa depan.
Matlamatnya bukan sekadar melahirkan graduan cemerlang, tetapi individu yang mempunyai rasa tanggungjawab untuk kembali menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Bersempena ulang tahun ke-20, Yayasan Khazanah terus memperkukuh komitmennya membangunkan ekosistem bakat strategik negara dengan memberi tumpuan kepada golongan berpotensi tinggi yang kurang mendapat akses kepada pendidikan serta memperkasakan kemahiran masa depan seperti literasi digital, pemikiran kritis dan inovasi.
Pendekatan itu selari dengan aspirasi Khazanah menerusi naratif Raising the Floor atau Menaikkan Lantai, yang menekankan usaha memperluas peluang pendidikan dan pembangunan bakat bagi meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia.
Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, 20 tahun lalu, Khazanah menubuhkan Yayasan Khazanah dengan satu keyakinan bahawa anak Malaysia yang berbakat, tanpa mengira latar belakang, wajar diberi peluang untuk pergi sejauh mungkin.
“Kejayaan Khazanah tidak diukur melalui pulangan kewangan semata-mata, tetapi juga melalui apa yang kami bina untuk rakyat Malaysia. Inilah makna ‘Menaikkan Lantai’ bagi kami dan usaha ini akan terus kami laksanakan,” katanya.
Beliau berkata, biasiswa hanyalah titik permulaan dan apa yang dibina selama 20 tahun ialah satu perjalanan dari bangku universiti, melalui bimbingan mentor dan latihan industri, hingga ke kerjaya yang bermakna.
“Kami mahu setiap penerima biasiswa pulang bukan sahaja dengan ijazah, tetapi juga dengan tujuan dan tanggungjawab untuk menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

