'Setiap kali tarik nafas seperti hisap rokok'

Salah seorang penunjuk perasaan memakai topeng muka ketika membantah kebakaran tidak terkawal kawasan pertanian dan hutan. - Foto Agensi
Salah seorang penunjuk perasaan memakai topeng muka ketika membantah kebakaran tidak terkawal kawasan pertanian dan hutan. - Foto Agensi
A
A
A

KALIMANTAN - Jarak penglihatan Suwadi semakin terbatas. Dia kini tidak mampu melihat dengan jelas walaupun pada had lima meter di hadapannya.

“Setiap kali menarik nafas, rasanya seperti sedang menghisap rokok,” katanya.

Kebakaran yang berlarutan selama beberapa minggu di wilayah Kalimantan, Indonesia semakin buruk dan kini turut mencetuskan jerebu rentas sempadan yang menyelubungi Malaysia dan Singapura.

Di Kalimantan Barat, jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan akibat masalah pernafasan meningkat secara mendadak.

Sejak bulan lalu, kira-kira 5,000 orang mendapatkan rawatan setiap minggu berbanding hanya sekitar 500 orang seminggu pada separuh pertama tahun ini.

Jerebu tebal menyelubungi bandar Palangka Raya di Kalimatan Tengah. - Foto Agensi
Jerebu tebal menyelubungi bandar Palangka Raya di Kalimatan Tengah. - Foto Agensi

Kanak-kanak masih meneruskan persekolahan, manakala orang dewasa tetap bekerja seperti biasa, meskipun ramai mula mengalami kesan buruk akibat terdedah kepada asap tebal secara berterusan.

“Bagaimana pula dengan bayi, warga emas dan wanita hamil yang turut terdedah kepada keadaan berbahaya ini?” ujar Suwadi.

Artikel Berkaitan:

Susulan keadaan itu, beberapa sesi persekolahan telah digantung sementara, manakala ibu bapa menggesa agar pembelajaran dalam talian dilaksanakan bagi melindungi kesihatan anak-anak.

Kebakaran yang berlaku setiap tahun di Kalimantan sering dikaitkan dengan kaedah ‘tebas dan bakar’ yang digunakan untuk membersihkan tanah bagi tujuan perladangan kelapa sawit.

Namun, keadaan kemarau yang melanda Indonesia menyebabkan api merebak dengan lebih pantas dan sukar dikawal.

Pihak berkuasa berkata fenomena ‘super’ El Nino mungkin memburukkan lagi keadaan, dengan fenomena cuaca ekstrem itu dijangka mencapai kemuncaknya pada bulan depan.

Rakyat Indonesia kecewa

Pakar pula memberi amaran bahawa musim kering dijangka berterusan sehingga Oktober manakala hujan yang mampu membantu memadamkan kebakaran dijangka hanya tiba pada November.

Jerebu yang tercetus akibat kebakaran itu semakin membimbangkan dan berkembang menjadi isu serantau.

Malaysia dan Brunei bersetuju untuk membawa perkara tersebut ke peringkat ASEAN. Pada Selasa, Kuala Lumpur direkodkan sebagai bandar paling tercemar di dunia diikuti Jakarta.

Di pelbagai platform media sosial, rakyat Indonesia cuba menarik perhatian warganet terhadap masalah yang berulang itu dengan menonjolkan kebakaran besar yang berlaku di Kalimantan, Sumatera, Papua Barat dan Lombok, termasuk kebakaran yang memusnahkan sebuah perkampungan pada hujung minggu lalu.

Data Kementerian Perhutanan menunjukkan hampir 94,000 hektar kawasan di seluruh negara musnah akibat kebakaran sepanjang bulan lalu. - Foto Agensi
Data Kementerian Perhutanan menunjukkan hampir 94,000 hektar kawasan di seluruh negara musnah akibat kebakaran sepanjang bulan lalu. - Foto Agensi

Data Kementerian Perhutanan menunjukkan hampir 94,000 hektar kawasan di seluruh negara musnah akibat kebakaran sepanjang bulan lalu.

Pada Isnin, Presiden Prabowo Subianto mengarahkan pihak berkuasa membatalkan permit perniagaan syarikat yang disyaki terlibat dalam pembukaan kawasan tanah untuk pertanian.

Pihak berkuasa turut menahan 72 individu yang disyaki memulakan kebakaran di Borneo dan Sumatera. Kebanyakan mereka dituduh sengaja membakar tanah bagi membuka kawasan untuk tujuan pertanian.

Namun, sebahagian rakyat Indonesia meluahkan rasa kecewa terhadap apa yang mereka anggap sebagai kegagalan pemerintah mengambil tindakan lebih awal terhadap syarikat yang didakwa terlibat.

Tindakan itu diambil ketika pakar serantau bimbang Indonesia bakal berdepan sekali lagi dengan kebakaran besar tahun ini memandangkan beberapa kebakaran paling dahsyat di negara itu berlaku ketika kitaran El Nino.

Pada 2015 yang juga merupakan tahun berlakunya fenomena El Nino, lebih 2.4 juta hektar kawasan terbakar mengakibatkan jerebu rentas sempadan yang turut menjejaskan Malaysia dan Singapura.

Pada awal minggu lalu, satu lagi kebakaran berlaku berhampiran kilang tempat Suwadi bekerja.

“Kebakaran semakin menghampiri rumah penduduk dan mengancam keselamatan mereka. Orang ramai mula panik," menurutnya lagi. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!