Bandar Bukit Raja jadi 'pulau' setiap kali hujan

KLANG - Penduduk Bandar Bukit Raja di sini seolah-olah tinggal di sebuah 'pulau' setiap kali hujan lebat apabila jalan keluar masuk kawasan perumahan dinaiki air hingga menyukarkan pergerakan keluar dan masuk.
Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Bukit Raja, Datuk Tan Seng Huat berkata, masalah banjir itu berlaku kira-kira tiga kali setahun dan keadaan menjadi lebih buruk apabila hujan berterusan.
Menurutnya, penduduk terpaksa berdepan kesukaran untuk keluar dari kawasan kediaman apabila beberapa laluan tidak dapat dilalui kenderaan khususnya kereta sedan.
"Kalau hujan kawasan ini jadi macam pulau sebab semua jalan keluar masuk tidak boleh dilalui dan penduduk terpaksa menunggu kira-kira empat hingga lima jam sebelum keadaan kembali pulih,," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Barangan Keperluan dan Cermin Mata Percuma di Pangsapuri Rebana Bandar Bukit Raja di sini pada Ahad.
Seng Huat memberitahu, masalah itu membimbangkan penduduk kerana Bandar Bukit Raja kini berkembang pesat dengan pelbagai pembangunan perumahan dan komersial.
Katanya, penduduk berharap kerajaan negeri dapat mempercepatkan usaha menangani masalah sistem perparitan bagi mengelakkan mereka terus berdepan banjir.
"Kami harap kerajaan memberikan perhatian dan dapat selesaikan masalah ini segera.
"Kalau dikatakan mengambil masa sehingga lima tahun untuk diselesaikan penduduk tidak mampu menunggu selama itu kerana banjir masih berlaku," jelas beliau.
Seng Huat menjelaskan, keadaan itu lebih mendesak memandangkan Bandar Bukit Raja adalah antara kawasan pembangunan utama di Klang Utara dengan keluasan kira-kira 4,000 hektar.
"Pembangunan semakin pesat dan banyak rumah dibina, namun kita harap sistem perparitan juga dapat disesuaikan dengan perkembangan kawasan ini.
"Kita mahu penyelesaian segera supaya penduduk tidak lagi berdepan keadaan seperti ini setiap kali hujan lebat," tegasnya.
Dalam pada itu, katanya, sebanyak 60 cermin mata dan 120 bakul makanan disumbangkan kepada golongan B-40 disumbangkan di pangsapuri itu bagi membantu meringankan beban penerima.
Katanya, pangsapuri itu mempunyai lebih 10 blok kediaman dengan jumlah penduduk yang ramai, sekali gus memerlukan usaha kebajikan dilaksanakan secara berterusan.
Ujar beliau, masalah penglihatan yang tidak ditangani boleh menjejaskan pembelajaran anak-anak terutama apabila keluarga terbabit mempunyai kekangan kewangan.
"Kadang-kadang anak mengalami rabun, tetapi ibu bapa tidak mampu menyediakan cermin mata," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

