Anggota MPV pertaruh keselamatan diri demi orang ramai - Noor Hisam

Noor Hisam
Noor Hisam
A
A
A

SHAH ALAM - Insiden dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) diserang suspek dalam kejadian berasingan di Kepong dan Sabak Bernam baru-baru ini memperlihatkan cabaran dan risiko sebagai petugas barisan hadapan bagi menjaga keselamatan masyarakat.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, sebagai 'first responders', anggota MPV bukan sahaja perlu memberikan respons yang pantas, malah perlu mempunyai keupayaan menilai ancaman, mengurus krisis, mengawal emosi serta membuat keputusan yang tepat dalam situasi yang sangat kritikal dan sukar dijangka.

Menurutnya, dalam konteks pengurusan krisis, kepantasan respons semata-mata tidak mencukupi.

"Ia perlu disokong dengan tahap kesiapsiagaan yang tinggi, kecekapan taktikal, komunikasi berkesan serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan peruntukan undang-undang.

"Insiden sebegini juga perlu dijadikan asas untuk memperkukuh latihan, menilai keberkesanan prosedur operasi, mempertingkatkan aspek perlindungan anggota serta memantapkan mekanisme bantuan sokongan ketika berhadapan dengan situasi berisiko tinggi," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, Lans Koperal Thierry Rodger Fendy putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak seorang lelaki warga asing di Desa Amanpuri, Kepong 11 November lalu.

Terbaharu, seorang anggota polis cedera di kiri kepala dalam satu kejadian melibatkan seorang lelaki yang dipercayai mengamuk di sebuah rumah di Sungai Panjang, Sabak Bernam pada Isnin lalu.

Mengulas lanjut, kata Noor Hisam, anggota barisan hadapan ini sentiasa mempertaruhkan keselamatan diri demi memastikan keselamatan orang lain terpelihara.

"Apa yang penting adalah keseimbangan antara keberkesanan tindakan, profesionalisme, keselamatan anggota dan masyarakat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!