Tembakau kunyah, cerut bernilai RM 3.9 juta dirampas

KUALA LUMPUR – Taktik mengikrarkan tembakau kunyah dan cerut sebagai barangan makanan dalam dokumen pengimportan bagi mengelakkan pembayaran duti serta cukai terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas produk berkenaan yang bernilai hampir RM4 juta.
Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud, berkata pihaknya menahan sebuah kontena di Pelabuhan Klang yang dipercayai diimport dari sebuah negara di Asia Tenggara pada 23 Oktober lalu.
"Tindakan itu dilakukan oleh pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan berdasarkan maklumat awam.
"Pemeriksaan mendapati kontena berkenaan mengandungi produk tembakau jenis tembakau kunyah dan cerut yang disyaki tidak berkastam," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.
Wan Norizan berkata, kesemua barangan yang dirampas mempunyai berat 5,925 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM358,200.
"Manakala jumlah duti dan cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM3.59 juta. Ini menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai berjumlah RM3,955,525," katanya.
Beliau berkata, pengimportan produk berkenaan tertakluk kepada keperluan permit import di bawah Butiran 66, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
"Seorang wakil syarikat pengimport telah dipanggil bagi membantu siasatan yang masih dijalankan," katanya.
Menurutnya, dari segi modus operandi, pihak terbabit dipercayai membuat pengikraran palsu dalam dokumen pengimportan atau Borang Kastam No. 1 dengan mengisytiharkan barangan berkenaan sebagai makanan.
"Tindakan itu dipercayai bertujuan mengelakkan pembayaran duti import dan cukai serta keperluan mendapatkan permit import.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam atau barang larangan import," katanya.
Wan Norizan menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi kegiatan penyeludupan, khususnya yang membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam aktiviti berkenaan kerana kegiatan penyeludupan bukan sahaja menyebabkan kehilangan hasil negara, malah turut mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
