Air pasang besar dijangka cecah 3.6 meter, penduduk pesisir pantai waspada risiko banjir

Keadaan air pasang besar yang melimpah di laluan menuju ke Terminal Feri Antarabangsa Kukup, Pontian pada Rabu.
Keadaan air pasang besar yang melimpah di laluan menuju ke Terminal Feri Antarabangsa Kukup, Pontian pada Rabu.
A
A
A

PONTIAN - Penduduk di beberapa kawasan pesisir pantai di daerah ini mengambil langkah berjaga-jaga susulan fenomena air pasang besar yang dijangka menyebabkan paras air meningkat hingga 3.6 meter, sekali gus menambah risiko limpahan air.

Tinjauan di sekitar Pekan Kukup bagaimanapun mendapati aktiviti harian mereka berjalan seperti biasa meskipun fenomena air pasang besar melanda kawasan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mahadir Mamat berkata, pemantauan dilakukan anggota di beberapa lokasi berisiko termasuk sekitar Terminal Feri Antarabangsa Kukup, Pekan Benut dan Pusat Perdagangan Pontian.

“Fenomena air pasang besar bermula hari ini dengan paras air sekitar 3.5 meter dan dijangka meningkat kepada 3.6 meter hingga Sabtu.

“Esok pula paras air dijangka mencecah 3.6 meter berdasarkan jangkaan fenomena berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas tinjauan di Pekan Kukup.

Beliau berkata, keadaan boleh menjadi lebih serius sekiranya fenomena air pasang besar berlaku serentak dengan hujan lebat kerana berpotensi menyebabkan banjir kilat.

“Taburan hujan pagi tadi agak rendah. Hujan pula sudah berhenti sebelum air pasang besar berlaku kira-kira jam 11.05 pagi,” katanya.

Anggota bomba melakukan pemantauan di sekitar Terminal Feri Antarabangsa Kukup.
Anggota bomba melakukan pemantauan di sekitar Terminal Feri Antarabangsa Kukup.

Sementara itu, seorang penduduk, Siti Nur Azidah Abd Aziz, 49, berkata, fenomena air pasang besar bukan perkara asing bagi penduduk sekitar Kukup yang sudah biasa berdepan keadaan itu setiap tahun.

Bagaimanapun, katanya, peningkatan paras air tetap perlu diberi perhatian kerana boleh menjejaskan pergerakan penduduk terutama mereka yang tinggal berhampiran kawasan pesisir pantai.

"Kalau air pasang besar, budak-budak memang suka bermain air kerana sudah biasa melihat keadaan itu.

"Fenomena ini biasanya berlaku pada penghujung November dan awal Disember, jadi penduduk lebih peka terhadap perubahan paras air serta sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Peniaga, Zulkifli Mohd Hafan berkata, tembok di kawasan gerai sudah ditinggikan sejak tahun lalu bagi mengurangkan risiko limpahan air ke kawasan penempatan.

" Sebelum ini, walaupun paras air tidak terlalu tinggi, gelombang daripada kenderaan yang melalui laluan berhampiran turut menyebabkan air terpercik dan mengganggu keadaan di kawasan sekitar.

"Sejak tembok ditinggikan, ia dapat mengurangkan risiko air melimpah di dalam kedai," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!