[VIDEO] Wanita lebih ramai terjerat penipuan dalam talian – Saifuddin

A
A
A

KUALA LUMPUR - Golongan wanita lebih ramai menjadi mangsa penipuan dalam talian berbanding lelaki apabila enam daripada setiap 10 mangsa jenayah itu terdiri daripada golongan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, analisis profil mangsa turut mendapati majoriti individu terjerat dengan jenayah itu merupakan pekerja sektor swasta.

“(Berdasarkan) data ini, kita boleh rumuskan, trend jenayah ini semakin meningkat. (Analisis) profil mangsanya (pula menunjukkan golongan) wanita lebih ramai jadi mangsa daripada lelaki.

“Bagi setiap 10 mangsa, enam (daripadanya) wanita, (manakala) empat (lagi) lelaki. Dari segi profil pekerjaan, kebanyakannya pekerja swasta,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan V Ganabatirau (PH-Klang) mengenai perkembangan terkini usaha kerajaan membanteras penipuan dalam talian dan akaun keldai termasuk jumlah kerugian dialami rakyat sejak 2023.

Ganabatirau turut meminta penjelasan mengenai jumlah wang yang berjaya dibekukan atau dipulangkan kepada mangsa serta langkah mempercepatkan pembekuan transaksi mencurigakan sebelum wang dipindahkan ke luar negara.

Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan kesalahan membenarkan akaun bank digunakan sebagai akaun keldai pula banyak melibatkan golongan pelajar.

Saifuddin
Saifuddin

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, sebanyak 192,869 kes penipuan dalam talian direkodkan sejak 2023 hingga Oktober 2026 dengan jumlah kerugian mencecah RM7.33 bilion.

“Tempoh yang sama, kita tangkap 75,266 individu dan sebanyak 69,665 pertuduhan telah dibuat. Ciri penting untuk mana-mana sindiket yang nak memperdayakan mangsa ialah akaun keldai.

“Bagi tempoh 2023 hingga Oktober 2026, kita kesan 254,546 akaun. Daripada jumlah itu, kita tuduh 137,699 akaun,” ujarnya.

Saifuddin memberitahu, terdapat enam modus operandi penipuan dalam talian yang dikenal pasti melibatkan jenayah telekomunikasi, jenayah e-kewangan, penipuan cinta (love scam), jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.

Jelas beliau, jenayah telekomunikasi mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 73,043 kes dengan kerugian RM2.132 bilion, diikuti jenayah e-dagang sebanyak 50,749 kes membabitkan kerugian RM509 juta.

Bagaimanapun, pelaburan tidak wujud mencatatkan nilai kerugian tertinggi iaitu RM3.4 bilion meskipun jumlah kes yang direkodkan sebanyak 27,863.

"Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja, sebanyak 56,802 kes penipuan dalam talian direkodkan dengan kerugian RM1.56 bilion.

“Dalam tempoh sama, seramai 20,842 individu ditangkap, manakala 17,985 kertas siasatan melibatkan 18,369 individu telah dituduh,” kata beliau.

Mengulas usaha menyelamatkan wang mangsa, Saifuddin berkata, kepantasan mangsa membuat laporan menjadi faktor penting dalam usaha menyekat transaksi kewangan sindiket.

Menurutnya, sindiket mampu memindahkan wang mangsa menerusi beberapa lapisan akaun sebelum mengeluarkannya dalam tempoh hanya lima minit.

“Kalau kita hendak selamatkan (wang mangsa), dalam (tempoh) masa inilah, sebab itu, panggilan pertama (daripada) mangsa sangat penting,” jelas beliau.

Beliau berkata, laporan segera membolehkan polis mengambil tindakan mengesan dan menyekat akaun terbabit menerusi kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!