Ibu maut dijerut: Anak didakwa membunuh

KUALA LANGAT – Seorang penganggur yang disiasat berhubung kematian ibunya yang dipercayai dijerut hingga maut, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas satu pertuduhan membunuh.
SM Madavan, 27, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Maslinda Selamat.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa membunuh V Kanagavalli, 51, di sebuah rumah di Taman Banting Baru, Banting di sini, antara jam 2.30 hingga 3.30 pagi pada 13 November lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Syafiq Yazid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 19 Januari 2027 untuk sebutan semula kes.
Pada 16 November lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan berkenaan.
Beliau berkata, lelaki berusia 20-an itu direman tujuh hari bermula 14 November.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

