Sindiket judi dalam talian sasar warga Australia tumpas, 6 lelaki ditahan

Mohd Alwi (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas ketika sidang akhbar di IPK Perak pada Jumaat.
Mohd Alwi (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas ketika sidang akhbar di IPK Perak pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Sindiket perjudian dalam talian yang menyasarkan warga Australia tumpas selepas enam lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kamunting, Taiping pada Selasa.

Serbuan jam 8.05 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas 18 telefon bimbit pelbagai jenama, 10 monitor, enam unit unit pemprosesan komputer (CPU) dan sebuah penghala (router) dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM35,000.

Menurutnya, pemeriksaan di rumah teres tiga tingkat berkenaan mendapati enam lelaki itu menjalankan aktiviti pusat panggilan bagi mempromosikan perjudian dalam talian kepada pelanggan dari Australia.

"Sindiket ini menggunakan aplikasi Telegram dan WeChat untuk berkomunikasi dengan mangsa.

"Mereka juga menggunakan gambar profil wanita Eropah bagi menarik minat pelanggan menyertai platform perjudian itu" katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di sini pada Jumaat.

Mohd Alwi menunjukkan antara barangan yang dirampas ketika sidang akhbar di IPK Perak pada Jumaat.
Mohd Alwi menunjukkan antara barangan yang dirampas ketika sidang akhbar di IPK Perak pada Jumaat.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dikesan menggunakan beberapa platform perjudian dalam talian yang diwujudkan khusus untuk pelanggan antaranya one2bet-aus, roladoll-aus dan majesty777-aus.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan mendapati kad SIM yang digunakan dalam telefon bimbit dirampas turut menggunakan talian syarikat telekomunikasi Australia.

"Pakej perjudian yang ditawarkan bernilai antara 30 hingga 200 dolar Australia, manakala akaun bank di Australia digunakan untuk menerima bayaran daripada pelanggan," katanya.

Mohd Alwi berkata, sindiket itu dipercayai mula beroperasi sejak Julai lalu dengan enam lelaki terbabit berperanan sebagai ejen mencari pelanggan dan mempromosikan perjudian dalam talian.

Menurutnya, sindiket terbabit turut menggunakan pintu belakang rumah sewa berkenaan untuk keluar masuk bagi mengaburi pihak berkuasa serta mengelakkan pergerakan mereka dikesan.

"Mereka menerima upah antara RM6,000 hingga RM10,000 sebulan bagi menjalankan kegiatan itu.

“Kesemua suspek berusia antara 22 hingga 31 tahun itu telah direman selama empat hari bermula sehingga 24 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti jumlah sebenar warga Australia yang menjadi mangsa kegiatan berkenaan, selain menyiasat sama ada suspek pernah menjalankan aktiviti sama di lokasi lain sebelum beroperasi di Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!