Petrosains AI Summit 2027 perkasa bakat AI rakyat Malaysia

Fabian merasmikan pembukaan Hello, AI! melalui gimik pelancaran khas yang menampilkan LUMI dan RoboBud.
Fabian merasmikan pembukaan Hello, AI! melalui gimik pelancaran khas yang menampilkan LUMI dan RoboBud.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir menggunakan kecerdasan buatan (AI), malah berupaya mencipta dan memanfaatkan teknologi itu secara bertanggungjawab diperkukuh menerusi pelancaran Petrosains AI Summit 2027.

Inisiatif itu menjadi platform pembangunan bakat AI dalam kalangan rakyat Malaysia, selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi Negara AI menjelang 2030.

Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar berkata, aspirasi itu perlu disokong oleh rakyat yang mempunyai pengetahuan dan keupayaan mengaplikasikan teknologi dalam menangani pelbagai cabaran semasa.

“Strategi, dasar dan infrastruktur sahaja tidak mencukupi untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara AI. (Kejayaan itu) pada akhirnya bergantung kepada rakyat yang memahami AI dan mampu memanfaatkan teknologi untuk menangani cabaran sebenar yang dihadapi oleh komuniti, perniagaan dan masyarakat.

“Usaha membina sebuah Negara AI bukan tanggungjawab satu kementerian, syarikat atau institusi semata-mata, sebaliknya memerlukan usaha bersama di peringkat nasional,” katanya ketika menyempurnakan majlis pelancaran Petrosains AI Summit 2027 di Petrosains, Suria KLCC pada Rabu.

Hadir sama Ahli Lembaga Petrosains dan Pengurus Besar Kanan, Farhan Abdul Rahim serta wakil kerajaan, industri, akademia, sektor korporat dan komuniti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Bertemakan 'Building Future-Ready Minds', Petrosains AI Summit 2027 bakal menghimpunkan pelbagai inisiatif sepanjang Januari hingga November tahun depan dengan acara kemuncaknya dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 28 November di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran rasmi Hello, AI! Studio, ruang pembelajaran berasaskan pengalaman baharu Petrosains yang dibangunkan bagi menjadikan teknologi berkenaan lebih mudah difahami, menarik dan relevan kepada masyarakat pelbagai latar belakang.

Fabian (tengah) bersama Mohammad Fuad (kiri) melancarkan Petrosains AI Summit 2027 di Petrosains, Suria KLCC pada Rabu.
Fabian (tengah) bersama Mohammad Fuad (kiri) melancarkan Petrosains AI Summit 2027 di Petrosains, Suria KLCC pada Rabu.

Sementara itu, Pengarah Pembelajaran dan Pusat Satelit Petrosains, Mohammad Fuad Rahman berkata, Petrosains AI Summit 2027 menampilkan empat komponen utama iaitu pertandingan AI, pameran industri, sesi perkongsian ilmu dan pavilion interaktif.

Menurut beliau, pertandingan AI yang berlangsung dari Januari hingga November tahun depan melibatkan murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, guru dan penuntut universiti menerusi beberapa fasa merangkumi pendaftaran, siri bengkel serta pertandingan akhir.

“Hasrat Petrosains AI Summit sebenarnya adalah untuk mewujudkan belia yang bukan sahaja tahu menggunakan AI, tetapi menjadi pereka, pencipta dan memahami tanggungjawab dalam penggunaan teknologi tersebut.

“Kita mahu mendidik mereka mengenai konsep AI, apakah yang perlu diketahui dan batas penggunaan teknologi itu dalam kehidupan,” jelas beliau.

Mohammad Fuad berkata, selepas hampir tiga dekad berkecimpung dalam bidang STEM, Petrosains yang merupakan cabang impak sosial Petronas dalam bidang pendidikan kini memperluas penerokaan kepada teknologi AI.

Katanya, pembukaan Hello, AI! Studio turut memberi peluang kepada masyarakat memahami teknologi itu secara langsung menerusi aktiviti interaktif dan pengalaman praktikal.

“Pengunjung Petrosains boleh membawa anak-anak untuk belajar sambil bermain, manakala rombongan sekolah boleh menggunakan kemudahan itu bersama guru masing-masing.

“Hello, AI! Studio dibuka secara percuma kepada semua pengunjung yang mempunyai tiket masuk Petrosains,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!