[VIDEO] 54 rakyat Malaysia hilang: JPN keluar sijil kematian selepas pengesahan Nepal - Saifuddin
KUALA LUMPUR - Urusan pengisytiharan anggapan kematian 54 rakyat Malaysia yang hilang dalam tragedi banjir di Nepal tertakluk sepenuhnya kepada prosedur perundangan dan mekanisme pentadbiran negara itu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya boleh mengeluarkan sijil kematian rasmi di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) selepas pihak berkuasa di lokasi insiden mengeluarkan pengesahan terlebih dahulu.
Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Nepal telah meluluskan satu perintah eksekutif dikenali Ordinan Pengisytiharan Kematian Mangsa Bencana hasil komunikasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya di negara berkenaan.
"Dengan pindaan administratif ini, anggapan kematian sebelum Kerajaan Nepal keluarkan sijil mati, asalnya (mengambil masa) 12 tahun. Tetapi dengan pindaan itu, dipendekkan kepada 45 hari sahaja.
"Jadi, bila pengesahan itu datang daripada Kerajaan Nepal ke atas 54 orang (rakyat Malaysia) ini, JPN akan menyusul untuk mengeluarkan sijil kematian bagi memudahkan urusan para waris melakukan proses berikutnya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang meminta penjelasan status terkini sijil anggapan kematian, selain bantuan kewangan segera kepada keluarga mangsa yang kehilangan pencari nafkah utama dalam kejadian banjir tersebut.

Bagaimanapun, Saifuddin Nasution berkata, kelancaran proses itu bergantung kepada kerjasama waris dalam melengkapkan dokumentasi diperlukan mengikut prosedur negara berkenaan.
"Kerjasama daripada keluarga mangsa itu adalah prasyarat yang penting. Selesai urusan itu lagi cepat, cepatlah (pengisytiharan anggapan kematian) melibatkan 54 orang ini," katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) sama ada kerajaan bersedia memperkenalkan mekanisme dokumentasi bencana laluan pantas (fast-track) seperti diamalkan Thailand, Saifuddin Nasution berkata, prosedur sedia ada JPN sudah memadai.
Beliau berkata, bagi kematian biasa di luar negara, JPN hanya mengambil masa tujuh hari bekerja untuk mengeluarkan sijil kematian sebaik dokumen pengesahan diterima, selain turut mempermudahkan urusan menerusi borang alternatif sekiranya waris tidak memiliki kad pengenalan si mati.
"Pada pandangan saya, mekanisme sedia ada memadai bagi kategori kematian biasa di luar negara kerana waris hanya perlu mengemukakan dokumen pengenalan diri dan pengesahan kematian daripada negara berkenaan kepada JPN sebelum sijil kematian dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari bekerja.
"Sebab itu saya sebut dalam kes ini, kita mengambil ketetapan, kita akan patuh terhadap ordinan yang berkuat kuasa di Nepal dalam melaksanakan ataupun mengesahkan satu-satu insiden kematian,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan sentiasa mengambil pengajaran daripada setiap musibah yang berlaku untuk memperkemas prosedur di samping mengeratkan lagi kerjasama dengan negara lain.
Pada 26 Ogos lepas, banjir kilat melanda daerah Rasuwa di Nepal serta kawasan sempadan Nepal-Tibet susulan runtuhan ais glasier dan batuan di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet.
Tragedi itu meragut lebih 1,400 nyawa, dengan kira-kira 5,700 individu termasuk lebih 600 warga asing masih dilaporkan hilang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
