Banjir Nepal: MASFIH tuntut Wisma Putra beri penjelasan pengisytiharan kematian

Manivannan
Manivannan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wisma Putra digesa memberi penjelasan segera berhubung status 54 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir lumpur di Nepal, khususnya berkaitan proses pengisytiharan kematian serta implikasi perundangan terhadap keluarga terlibat.

Jurucakap Malaysia Solidarity Family in Hope (MASFIH), Dr R Manivannan berkata, keluarga mangsa masih belum mendapat kepastian mengenai prosedur yang perlu dilalui sekiranya pengisytiharan kematian dikeluarkan oleh pihak berkuasa Nepal, termasuk sama ada dokumen berkenaan boleh diterima oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, perkara itu perlu diperjelaskan segera kerana keluarga bukan sahaja berdepan ketidakpastian mengenai nasib ahli keluarga, malah perlu memahami kesan perundangan terhadap urusan harta pusaka dan kewangan.

"Kita mahu Wisma Putra menjelaskan sama ada istilah pengisytiharan kematian yang digunakan itu merupakan ketetapan kerajaan Nepal atau hanya istilah yang digunakan oleh pihak Malaysia.

"Ini penting kerana bagaimana sekiranya seseorang yang diisytiharkan meninggal dunia ditemukan masih hidup selepas ini?

"Selagi tiada bukti, mayat ditemukan atau pengesahan DNA dilakukan, keluarga masih mempunyai harapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadap Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Arif di Istana Darul Amam di sini pada Selasa.

Che Puan Muda Zaheeda (tengah) bersama ahli keliarga mangsa banjir lumpur di Nepal dalam sesi pertemuan di Istana Darul Aman pada Selasa.
Che Puan Muda Zaheeda (tengah) bersama ahli keliarga mangsa banjir lumpur di Nepal dalam sesi pertemuan di Istana Darul Aman pada Selasa.

Manivannan menegaskan, keluarga turut bimbang proses pengiktirafan dokumen kematian di Malaysia akan mengambil masa panjang kerana mungkin memerlukan tindakan mahkamah atau penilaian semula dari sudut perundangan.

Malah menurutnya, urusan berkenaan berpotensi mengambil masa antara tiga hingga sembilan bulan, malah boleh berlanjutan sehingga setahun sebelum keluarga dapat menyelesaikan urusan berkaitan harta peninggalan.

"Selepas pengisytiharan kematian diperoleh, keluarga masih perlu melalui proses mahkamah untuk urusan probet atau mendapatkan surat kuasa mentadbir sekiranya tiada wasiat.

"Bagi keluarga Islam pula, urusan pembahagian harta pusaka mengikut faraid juga perlu dilakukan. Ini bukan proses yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat," ujarnya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, keluarga mangsa turut berdepan tekanan kewangan berikutan kehilangan sumber pendapatan utama, selain tidak dapat mengakses akaun bank milik individu yang masih hilang.

Menurutnya, meskipun kerajaan mengumumkan bantuan khas sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga, wang berkenaan masih belum disalurkan setakat ini.

"Keluarga bukan sahaja berdepan masalah kewangan, malah akaun bank individu yang hilang tidak boleh diakses walaupun wang itu diperlukan untuk menampung kehidupan harian.

"Moratorium pinjaman selama enam bulan yang diberikan juga tidak menyelesaikan keseluruhan masalah kerana keluarga masih perlu menanggung kos sara hidup dan komitmen lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!