Dua lelaki gagal cabar keputusan kerajaan hapus subsidi diesel di Semenanjung

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Rabu menolak permohonan dua lelaki untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman mencabar keputusan Perdana Menteri, kerajaan dan tiga menteri Kabinet menghapus serta menyasarkan subsidi diesel di Semenanjung pada 10 Jun 2024.
Hakim Norliza Othman yang membuat keputusan itu berkata permohonan dikemukakan Azhani Marlan @ Abd Halim dan Mohd Hatta Sanuri itu tidak melepasi ambang kepada kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman kerana mereka gagal menunjukkan kes itu boleh dihujahkan untuk dibawa ke peringkat pendengaran substantif.
"Perkara yang dicabar pemohon merupakan keputusan polisi yang tidak boleh diadili kerana permohonan tersebut gagal mematuhi kehendak prosedur di bawah Aturan 53 Kaedah 3(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah.
"Mahkamah tidak perlu dan tidak sepatutnya membuat dapatan bahawa permohonan ini adalah remeh dan menyusahkan kerana isu dibangkitkan melibatkan persoalan perlembagaan yang tulen,” katanya pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian (Zoom).
Pada 7 Oktober 2024, Azhani, 49, dan Mohd Hatta, 50, memfailkan permohonan semakan kehakiman itu dengan menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Pengangkutan (ketika itu) Anthony Loke dan kerajaan sebagai responden pertama hingga enam.
Dua individu berkenaan memohon antaranya perisytiharan bahawa keputusan semua defendan pada 9 Jun 2024 untuk menghapuskan subsidi diesel dan menyasarkan harga runcit diesel kepada RM3.35 seliter, berbanding RM2.15 sebelumnya (kenaikan 56 peratus), berkuat kuasa 10 Jun 2024 di Semenanjung, namun diberikan pengecualian Sabah dan Sarawak, adalah batal dan tidak sah di sisi undang-undang.
Dalam penghakiman ringkas, Norliza berkata, permohonan untuk mencabar keputusan kerajaan memansuhkan subsidi diesel dan dakwaan kegagalan kerjaaan mematuhi formula Mekanisme Harga Automatik (APM) dalam pengiraan harga runcit untuk diesel adalah melibatkan dua keputusan berasingan yang memerlukan permohonan kebenaran semakan kehakiman berasingan.
"Pemohon gagal menunjukkan punca kuasa yang mana kerajaan telah menyalahgunakan kuasa dalam menetapkan harga subsidi diesel bagi Semenanjung dan untuk Sabah, Sarawak dan Labuan.
"Mereka boleh terus menikmati kadar subsidi diesel. Kegagalan mengenal pasti punca kuasa ini menyebabkan permohonan semakan kehakiman ini tidak perlu untuk dibawa kepada penentuan substantif,'' katanya.
Norliza berkata, keputusan kerajaan untuk memansuhkan subsidi diesel dan memperkenalkan subsidi bersasar di Semenanjung serta mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak dan Labuan adalah satu bentuk keputusan yang lebih bersifat fiskal, mempunyai kesan ekonomi dan sosial.
"Mahkamah mendapati pengecualian Sabah, Sarawak dan Labuan adalah berasaskan pertimbangan objektif yang dikemukakan responden iaitu kebergantungan tinggi pengguna di Sabah, Sarawak terhadap kenderaan diesel akibat faktor geografi dan taraf jalan.
"Risiko kesan rantaian yang lebih tinggi memandangkan harga barangan di sana sememangnya lebih tinggi dan tahap kesediaan dan akses maklumat untuk pemprofilan penyasaran subsidi,” kata hakim itu.
Mahkamah turut bersetuju dengan hujahan Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Salehuddin Md Ali bahawa mahkamah tidak seharusnya dilibatkan untuk mencampuri urusan sosial dan ekonomi yang sememangnya di dalam bidang kuasa dan budi bicara kerajaan untuk melaksanakan demi kepentingan rakyat.
"Secara amnya, jika mahkamah mencampuri urusan pentadbiran yang dibuat oleh pihak eksekutif, ia bertentangan dengan doktrin pemisahan kuasa," katanya.
Mahkamah juga berpendapat dakwaan pemohon bahawa kerajaan gagal mematuhi APM dalam menentukan harga runcit diesel tidak disokong bukti kukuh.
Hakim turut menolak hujahan peguam pemohon bahawa kegagalan responden menjawab notis bertarikh 30 Ogos 2024 mengesahkan ketidaktepatan pengiraan APM kerana kegagalan menjawab surat tidak boleh dengan sendirinya menjadi bukti bahawa satu pengiraan adalah salah.
Selain itu, Norliza berkata, mahkamah mendapati walaupun mekanisme penyasaran subsidi diesel seragam di seluruh negara mulai 1 Julai 2026, telah mengurangkan ketidaksamaan yang dibangkitkan, ia tidak menjadikan keseluruhan permohonan akademik seperti dihujahkan Peguam Kanan Persekutuan.
"Mahkamah berpandangan isu berkaitan pengiraan APM dan tuntutan ganti rugi masih kekal sebagai isu untuk dipertimbangkan. Justeru, penolakan pemohonan ini adalah berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan, bukan semata-mata atas alasan akademik," kata hakim itu dan memerintahkan kedua-dua pemohon membayar kos RM5,000 kepada pihak Peguam Negara.
Prosiding hari ini disertai Mohammad Salehuddin yang mewakili Peguam Negara manakala peguam Mohaji Selamat bertindak bagi pihak kedua-dua pemohon. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
