Pelantikan KP baharu AKPS belum diputuskan, KDN beri jaminan operasi tidak terjejas tanpa Shuhaily

BERUAS - Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum memutuskan pelantikan Ketua Pengarah baharu Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya memberi jaminan operasi AKPS tetap berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan keputusan mengembalikan Mohd Shuhaily ke pasukan asalnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman telah diminta memberikan perhatian khusus bagi memastikan kelangsungan operasi agensi berkenaan dalam keadaan semasa.
"Kita belum sampai tahap itu lagi (keputusan lantikan baharu). Bagi selesai satu-satu dahulu. Tetapi saya beri jaminan operasi AKPS tidak terjejas kerana agensi ini penting.
"Tidak boleh kerana Ketua Pengarahnya terlibat (pertukaran) seluruh organisasi itu terhenti. Kalau ada melibatkan proses mahkamah, biarkan berjalan mengikut proses sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI (KAM) serta Sekolah Angkat MADANI (SAM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kampung Sungai Tiram, Lekir di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Saifuddin memutuskan agar Mohd Shuhaily yang dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS bagi tempoh dua tahun dari 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027, kembali bertugas dengan PDRM.
Pada 21 Oktober, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September.
Beliau bagaimanapun kembali bertugas di agensi tersebut pada 2 November selepas dilaporkan bercuti akhir Oktober lalu.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, walaupun situasi itu merupakan pengalaman baharu buat kementerian, laporan diterima dari lapangan menunjukkan operasi AKPS tidak mengalami sebarang gangguan.
Malah katanya, agensi itu terus menjalankan tugas penguatkuasaan termasuk menyekat beberapa percubaan membawa sejumlah besar wang tunai menerusi laluan ke Singapura baru-baru ini.
"Status Ketua Pengarah itu adalah dipinjamkan daripada polis kepada AKPS. Jadi, kita telah membuat keputusan untuk mengembalikan Ketua Pengarah kepada pasukan atau organisasi asal.
"Daripada situ, semua proses yang patut dilakukan akan dilakukan oleh agensi yang berkenaan," katanya.
Sementara itu, Saifuddin berkata, sebanyak RM600,000 diperuntukkan menerusi program Kampung Angkat Madani dan dan Sekolah Angkat Madani bagi menyediakan kemudahan lebih baik kepada penduduk Kampung Sungai Tiram.
Menurutnya, daripada jumlah itu, RM500,000 disalurkan bagi projek infrastruktur melibatkan sebuah masjid, dua surau, sebuah sekolah agama dan sebuah sekolah kebangsaan, manakala RM100,000 lagi menerusi peruntukan Sekolah Angkat Madani.
"Antara penambahbaikan dilaksanakan termasuk menaik taraf ruang solat, menggantikan karpet, menyediakan sistem siar raya lebih baik, membaiki kemudahan tandas, memasang pagar bagi menghalang kemasukan haiwan ternakan, juga kemudahan bilik pengurusan jenazah," katanya.
Beliau berkata, program Madani yang memasuki tahun ketiga itu telah menberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 33 kampung dengan peruntukan antara RM500,000 hingga RM1 juta bagi setiap program.
"Apa yang baiknya, setiap projek yang dilaksanakan tidak ada satu pun terbengkalai, malah semuanya berjalan mengikut jadual dan ada yang mendahului jadual ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

