Bayi 2 bulan maut, bapa serkup kepala dengan beg plastik

TOKYO - Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di wilayah Hiroshima, barat Jepun, ditahan pada Sabtu kerana disyaki membunuh bayi lelaki berusia dua bulan dengan menyerkup kepalanya menggunakan beg plastik, menurut polis.
Pelaku yang dipercayai bapa kepada mangsa memberitahu pihak berkuasa bahawa dia tidak berniat untuk membunuh bayi tersebut.
"Bayi itu menangis dengan kuat dan suspek menyangka tindakan itu dapat membuatkannya diam,” menurut pihak berkuasa.
Suspek didakwa menutup kepala bayi itu dengan beg plastik sebelum meniarapkannya di rumah mereka di Fukuyama ketika kejadian pada Jumaat lalu. Bayi tersebut kemudian meninggal dunia akibat kegagalan pernafasan.
Ibu mangsa kemudiannya membuat panggilan kecemasan pada hari yang sama bagi memaklumkan bahawa bayinya telah meninggal dunia. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

