Panggilan manja jerat cinta warga emas

SHAH ALAM - Panggilan manja seperti baby dan jantung hati menjadi antara senjata sindiket penipuan cinta untuk memerangkap warga emas sehingga sanggup menyerahkan wang simpanan kepada individu tidak pernah ditemui.
Perunding Motivasi dan Kaunseling Keluarga, Hushim Salleh berkata, golongan itu mudah terbuai dengan perhatian dan kata-kata romantik yang diberikan secara konsisten terutama apabila mereka berdepan kesunyian selepas bersara atau kehilangan pasangan.
Menurutnya, scammer bijak mengambil peluang dengan bertanya khabar, mengingatkan mangsa supaya menjaga kesihatan serta menghantar mesej berunsur kasih sayang bagi mewujudkan hubungan emosi.
"Scammer akan tanya sudah makan atau belum, selain mereka ingatkan mangsa supaya jaga kesihatan dan ucapkan I love you atau I rindu you.
"Kadang-kadang anak sendiri pun tidak bercakap begitu dengan ibu bapa mereka, namun apabila ada orang memberikan perhatian seperti itu, warga emas boleh berasa dihargai," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Hushim, keadaan itu lebih ketara dalam kalangan warga emas yang tinggal bersendirian, kehilangan pasangan atau kurang mendapat perhatian daripada keluarga.
Katanya, hubungan yang pada awalnya kelihatan seperti persahabatan atau percintaan boleh berkembang sehingga mangsa meletakkan kepercayaan penuh kepada individu terbabit.
"Apabila sudah percaya, mereka sanggup memasukkan wang setiap kali diminta, namun lebih bahaya apabila mereka sudah terikat dengan bahasa cinta yang digunakan scammer," ujar beliau.

Mengulas langkah pencegahan, Hushim menasihatkan anak-anak supaya lebih kerap menghubungi, menziarahi dan mengambil berat tentang ibu bapa lebih-lebih lagi jika mereka tinggal bersendirian.
Katanya, komunikasi secara berterusan termasuk panggilan video dapat membantu mengurangkan kesunyian, selain beri ruang kepada ibu bapa untuk berkongsi masalah tanpa berasa dihakimi," ujarnya.
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum ini memaklumkan, Kempen Internet Selamat (KIS) yang dilaksanakan sejak Januari 2025 turut memberi penekanan kepada golongan rentan termasuk warga emas untuk mengenal pasti risiko kandungan, tanda penipuan serta amalan keselamatan Internet yang betul.
MCMC memperkukuh kerjasama dengan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh negara bagi memperluas pendedahan keselamatan digital menerusi latihan, bengkel dan demonstrasi.
Usaha berkenaan diperluas kepada ancaman penipuan berasaskan kecerdasan buatan (AI) termasuk penggunaan suara palsu yang boleh memperdaya mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

